Jumaat, 5 Oktober 2018 | 12:27pm
KETUA Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sesiapa saja boleh uruskan NFDP - Safirul

KUALA LUMPUR: Pengurusan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bersedia menerima mana-mana pihak untuk menjadi pengelola selagi ia memberi jaminan program terbabit akan diteruskan.

Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar berkata, mereka akan menerima apa sahaja keputusan yang dirasakan baik oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung nasib program itu, selagi hala tujunya berada pada landasan yang tepat dan terus diperkasa.

“Kita tidak berdepan masalah untuk berada di bawah kelolaaan mana-mana pihak sama ada terus berada bersama KBS seperti sedia ada ataupun diambl alih Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Apa sahaja cara yang terbaik untuk program, kita setuju. NFDP hanya mementingkan supaya program itu berjalan dan diteruskan selain beberapa penambahbaikan yang seharusnya dilakukan.

“Berdasarkan maklumbalas jurulatih, mereka juga ada pandangan masing-masing, jadi mungkin menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) boleh membuat pertimbangan hasil input yang diterimanya.

“Apapun, saya tidak mahu mendahului menteri dalam hal ini dan biarlah beliau yang memutuskan ketetapan bagi perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas Program ‘Townhall’ NFDP di Bukit Jalil, petang semalam.

Sebagai rekod, program pembangunan yang sudah berusia empat tahun itu mempunyai 25,575 pemain, 1,025 jurulatih dan 126 akademi termasuk Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD). 

Terdahulu, hala tuju NFDP menjadi topik hangat selepas pertukaran kerajaan pada Mei lalu dengan FAM dikatakan bakal mengambil alih program berkenaan.

Malah, badan induk itu juga sudah menyatakan kesediaan untuk mengendalikan program terbabit dan kini hanya menunggu lampu hijau daripada KBS.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui mempunyai perancangan dan resepi tersendiri bagi memperkasakan lagi NFDP sekiranya badan induk itu diberikan amanah untuk mengambil alih program berkenaan.

Berita Harian X