Jumaat, 5 Oktober 2018 | 8:33pm
SYED Saddiq mengadakan lawatan ke padang Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang berhubung isu ketirisan membabitkan kontraktor yang dilantik dengan kos RM85 juta bagi membangunkan akademi berkenaan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Saddiq terkejut, kecewa dengan AMD

KUANTAN: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa dengan pelbagai kepincangan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bernilai RM85 juta hingga boleh merencatkan pembangunan bola sepak negara.

Beliau yang melakukan lawatan mengejut ke akademi itu di Gambang, dekat sini, petang tadi mendapati banyak permasalahan dan kelemahan serius yang perlu ditangani segera.

Katanya, kemudahan latihan dan peralatan serba kekurangan serta tidak sesuai sekali gus gagal menepati tujuan akademi itu dibangunkan sebagai pusat latihan dalam melahirkan Mokhtar Dahari baru dan bakat bola sepak bertaraf antarabangsa.

“Saya amat kecewa sebaik melihat sendiri permasalahan di AMD terutama berkaitan kemudahan dan peralatan. Lebih menyedihkan perkara asas iaitu aspek pemakanan tidak diberi penekanan hingga ada pemain yang terpaksa berlapar kerana makanan disediakan gagal menepati kualiti ditetapkan.

“Masalah lain pula seperti bola untuk latihan tidak mencukupi hingga memberi kesan terhadap prestasi pemain termasuk padang latihan yang bertakung setiap kali hujan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Turut hadir, Pengurus AMD, Yusof Ibrahim.

AMD yang dibina dengan peruntukan RM85 juta mula digunakan pada 2014 dengan objektif membawa dimensi baru dalam bola sepak negara berdasarkan kepada latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa.

Akademi itu bertindak sebagai pusat untuk pemain muda terbaik dari seluruh negara menimba ilmu dan kemahiran dalam bola sepak.

Syed Saddiq meluangkan masa lebih dua jam di akademi itu selepas mendapat maklum balas pada sesi dialog bersama peminat bola sepak tanah air di Kuala Lumpur, malam tadi. Dalam pertemuan itu, mereka meminta beliau membuat audit mengenai peruntukan untuk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Beliau berkata, disebabkan berlakunya ketirisan itu, misi melahirkan pemain berbakat di negara ini mahupun di peringkat Asia, turut terjejas.

“Dalam isu ini, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk melaporkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Masalah ini terlalu besar dan perlu diselesaikan segera kerana membabitkan peruntukan hingga RM85 juta. Bagi saya, kita jangan sesekali menyalahkan pemain jika gagal menunjukkan bakat sekiranya perkara asas tidak diberikan keutamaan,” katanya.

Mengenai 740 kerosakan dan kecacatan yang dikenal pasti di AMD dalam tempoh enam bulan, beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bermesyuarat bagi memanggil kontraktor utama pembinaan akademi itu, Rabu depan.

“Kami harap kontraktor hadir untuk memberikan kerjasama dan jangan lari kerana itu tanggungjawab mereka,” katanya.

Berita Harian X