Ahad, 7 Oktober 2018 | 9:25pm
PENYERANG Arsenal, Alexandre Lacazette (tengah) meraikan gol jaringannya ketika menentang Fulham di Craven Cottage, sebentar tadi. - Foto Reuters
PENYERANG Arsenal, Alexandre Lacazette (tengah) meraikan gol jaringannya ketika menentang Fulham di Craven Cottage, sebentar tadi. - Foto Reuters

Arsenal bedil Fulham

LONDON: Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang masing-masing meledak dua gol ketika Arsenal meneruskan rentak kemenangan dengan membelasah Fulham 5-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Kemenangan di gelanggang lawan Craven Cottage itu adalah yang kesembilan berturut-turut buat skuad kendalian Unai Emery dalam semua kejohanan sejak Ogos lalu.

Penyerang Perancis, Lacazette meletakkan pelawat di depan pada minit ke-29 susulan hantaran daripada gerakan yang dimulakan Alex Iwobi dan Nacho Monreal.

Selepas percubaan pertama daripada penyerang Fulham Andre Schurrle sedikit tersasar, bekas pemain Chelsea itu tidak melakukan kesilapan apabila memperoleh peluang kedua dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-44.

Begitupun, kedudukan itu tidak lama apabila Lacazette sekali lagi meletakkan Arsenal di depan empat minit memasuki babak kedua apabila rembatannya dari jarak 22 meter gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Marcus Bettinelli.

Pemain tengah Wales, Aaron Ramsey membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menyumbat gol ketiga pelawat pada minit ke-68, dua minit selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian.

Gol keempat Arsenal turut dijaringkan pemain gantian, Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-79 sebelum bekas penyerang Borussia Dortmund itu menambah gol kelima pada masa kecederaan.

Kekalahan itu menyaksikan Fulham terperosok ke tangga ke-17 liga selepas mengumpul lima mata daripada lapan perlawanan manakala Arsenal mendaki tangga ketiga dengan 18 mata. - AFP

Berita Harian X