Khamis, 11 Oktober 2018 | 10:39am
GIAN Piero Ventura
GIAN Piero Ventura

Chievo 'hidupkan semula' karier Ventura

MILAN: Gian Piero Ventura yang menjadi pengendali Itali ketika mereka gagal layak ke Piala Dunia tahun lalu, dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pasukan yang bergelut di dasar Serie A, Chievo.

Dalam satu kenyataan hari ini, kelab diberi jolokan Flying Donkeys itu berkata mereka masih percaya terhadap sentuhan dimiliki pengendali berusia 70 tahun itu walaupun kali terakhir menjalankan tugas ketika Itali kecundang kepada Sweden dalam aksi playoff kelayakan Piala Dunia, November lalu.

Beliau akan menggantikamn Lorenzo D'Anna yang dipecat semalam.

Chievo terus kemarau kemenangan dalam lapan perlawanan untuk berada di tangga terbawah liga dengan kutipan mata negatif satu, selepas ditolak tiga mata akibat masalah akaun.

Ventura pernah membimbing 17 kelab sepanjang karier jurulatihnya, kebanyakan bersama kelab liga bawahan. Selain daripada Napoli ketika berada di Serie C waktu itu, beliau tidak pernah bekerja di kelab besar seperti Inter Milan, AC Milan, AS Roma atau Juventus.

Kelab yang pernah mendapat sentuhannya terdiri daripada Sampdoria, Lecce, Cagliari, Venezia, Pisa, Bari, Verona, Messina, Udinese dan Spezia.

Malah beliau langsung tidak pernah memenangi gelaran Serie A atau Piala Itali, walaupun pernah membantu Lecce menjulang trofi Serie C pada 1996.

Bagaimanapun, beliau mula mendapat pengiktirafan selepas tempoh lima tahunnya bersama Torino menyaksikan kelab itu dinaikkan pangkat ke Serie A dan beberapa kali berjaya menamatkan kempen dalam kelompok pertengahan mahupun lebih tinggi daripada itu. - REUTERS

Berita Harian X