Ahad, 14 Oktober 2018 | 8:46am
ROY Chipolina
ROY Chipolina

Selepas 22 kalah, Gibraltar akhirnya menang

PARIS: Gibraltar akhirnya meraih kemenangan sulung dalam aksi kompetitif selepas 22 kekalahan dengan menewaskan Armenia - yang menampilkan bintang Arsenal, Henrikh Mkhitaryan 1-0, dalam Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi tadi.

Penalti pada minit ke-50 yang disempurnakan oleh kapten pasukan, Roy Chipolina memberikan Gibraltar tiga mata pada aksi di ibu negara Armenia, Yerevan itu. 

Ia adalah kemenangan pasukan yang dianggap kerdil itu, sejak mereka menyertai Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengikuti kemenangan ke atas Malta (2014) dan Latvia pada Mac tahun ini.

Kemenangan itu hadir sekali pun tercetus kontroversi sebelum perlawanan apabila tuan rumah memainkan lagu kebangsaan negara Liechtenstein dan bukannya Gibraltar.

“Persatuan Bolasepak Armenia sudah memohon maaf kepada Ketua Delegasi yang mewakili Persatuan Bolasepak Gibraltar di Yerevan atas sikap tidak berhati-hati ini dan pengumuman dibuat di Stadium Nasional bagi memohon maaf atau kesilapan itu,” tulis Persatuan Bolasepak Gibraltar dalam Twitter. 

Sejak Gibraltar menyertai UEFA pada 2013, mereka mengharungi beberapa siri kekalahan besar termasuk tewas 1-8 kepada Poland, 0-7 masing-masing kepada Jerman dan Republik Ireland pada kelayakan Euro 2016.

Kekalahan terbesar mereka adalah ketika dimalukan Belgium 0-9 pada kempen kelayakan Piala Dunia pada 2017. - AFP

Berita Harian X