Ahad, 14 Oktober 2018 | 8:40pm
PRESIDEN PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie (dua dari kanan) bergambar bersama barisan jawatankuasa PFA bagi musim hadapan di Hotel Putra Regency. - Foto DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

PFA jumpa pemain, jurulatih Rabu ini

 

KANGAR: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) akan mengadakan pertemuan dengan 37 pemain dan pegawainya selepas Mesyuarat EXCO PFA yang pertama diadakan Rabu ini.

Presiden PFA yang baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie berkata, pertemuan itu akan diadakan bagi membincangkan masalah gaji mereka yang tertunggak sejak Mac lalu.

"Sebenarnya bukan itu saja (isu gaji tertunggak) yang akan kita bincangkan bersama pemain selepas mesyuarat itu nanti. Akan ada perkara lain, kita tunggu dulu selepas Mesyuarat EXCO pada Rabu ini kerana kemelut ini sedikit sebanyak menjatuhkan moral pegawai dan pemain PFA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kongres Luar Biasa (EGM) PFA di sebuah hotel di sini petang tadi.

Pada EGM itu, Ahmad Amizal yang juga Presiden Kelab Bola Qhaleefa MIB sebulat suara dilantik menerajui persatuan itu pada musim depan.

Muhammad Abdul Karim Khan yang sebelum ini memangku jawatan Presiden dilantik sebagai Timbalan Presiden PFA.

Mengulas lanjut mengenai hutang PFA yang tertunggak lebih daripada RM460,000, Ahmad Amizal berkata jumlah itu sebenarnya bukanlah tinggi seperti yang didakwa sebelum ini.

Berita Harian X