Isnin, 15 Oktober 2018 | 5:45pm
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KBS bakal tentu hala tuju NFDP

KUALA LUMPUR: Masa depan dan hala tuju Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bakal ditentukan oleh Jawatankuasa Pemantau NFDP yang selesai bermesyuarat, hari ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menjelaskan pihaknya akan membentangkan rumusan dan cadangan yang terbaik berhubung program terbabit kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat.

“Dalam mesyuarat hari ini, kita mendapatkan input daripada semua pemegang taruh seperti MSN, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum mendapatkan kata sepakat mengenai program ini pada masa akan datang.

“Hasil perbincangan ini, kita mendapatkan rumusan dan pendekatan yang dipersetujui antara semua pihak untuk dibentangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum beliau sendiri yang akan memutuskan hala tuju NFDP.

“Menerusi mesyuarat ini juga, kita mahu memastikan setiap kerjasama yang akan dilakukan selepas ini dapat dijayakan dan berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Shapawi menegaskan kedudukan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantau NFDP itu.

“Kita tidak boleh putuskan perkara itu dalam mesyuarat ini kerana mesyuarat ini hanya untuk membincangkan dan membuat rumusan terhadap hala tuju dan pengurusan program sahaja.

“Kedudukan Teong Kim akan dibincangkan oleh satu lagi jawatankuasa yang dibentuk selepas ini. Jadi sebab itulah ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung perkembangan di AMD, Ahmad Shapawi menjelaskan pihaknya sudah mengambil langkah terbaik untuk menyelesaikan isu dalaman di akademi itu khususnya membabitkan makanan dan juga peralatan.

“Kita sudah kenalpasti dan selesaikan beberapa masalah seperti menu makanan dan kemudahan untuk digunakan pemain AMD serta peralatan untuk menambahbaik kualiti hidup mereka.

“Bagi hal kecacatan pula, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengeluarkan kenyataan sebelum ini dan kontraktor bertanggungjawab untuk membaiki segala masalah yang dilaporkan kerana projek masih berada di dalam tempoh tanggungan kecacatan,” katanya.

Berita Harian X