Ahad, 21 Oktober 2018 | 5:14pm
Pengerusi FELCRA, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab. - Foto arkib NSTP

Status FELCRA FC jadi tanda tanya

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum memutuskan pengganti FELCRA FC dalam saingan Liga Super musim depan selepas Jumaat lalu menyaksikan Pengerusi FELCRA, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab mengumumkan pembubaran pasukan itu.

Menurut sumber terdekat MFL, badan yang mengendali Liga Malaysia itu juga sehingga kini masih lagi belum menerima sebarang notis tentang penarikan diri FELCRA FC.

"Kena faham, pengurusan FELCRA FC adalah di bawah kelab berkenaan dan kami masih menunggu surat rasmi daripada pengurusan kelab itu ," kata sumber berkenaan.

"Biarpun Pengerusi FELCRA membuat pengumuman tentang pembubaran kelab, ia perlu mengikut prosedur dengan pengurusan FELCRA FC harus menyerahkan notis pembubaran itu 

"Daripada maklumat awal yang kami terima, FELCRA FC sudah mempunyai penaja yang sanggup melabur RM8 juta dengan RM3 juta lagi akan diperolehi atas perjanjian hak penyiaran liga. 

"Jumlah keseluruhan akan menjadi RM11 juta dan kelab berkenaan sudah boleh bergerak. Namun kelab itu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi dan kami mereka masih kekal sebagai pencabar dalam kempen Liga Malaysia musim depan."

Terdahulu, pengurusan tertinggi FELCRA mengumumkan pembubaran pasukan ekoran pelaburan yang begitu besar terpaksa ditanggung serta tidak memberi keuntungan kepada syarikat itu.

Malah, ia adalah langkah terbaik selepas menilai situasi ekonomi semasa, sambil menambah pembubaran kelab berkenaan bagi memastikan aliran tunai syarikat berada dalam keadaan stabil.

Sepanjang kempen Liga Perdana musim ini, skuad kendalian jurulatih dari Brazil, Tarcisio Pugliese itu berjaya menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik di penghujung musim 2018, yang membolehkan mereka bersaing di liga tertinggi di negara ini iaitu Liga Super musim depan.

Berita Harian X