Rabu, 24 Oktober 2018 | 1:25pm
PEMAIN Liverpool, Fabinho. - Foto Reuters

Fabinho sedia bukti nilai - Klopp

LONDON: Fabinho mengharungi permulaan karier yang perlahan di Liverpool tetapi pengurus, Juergen Klopp tidak bimbang mengenai kemampuan pemain tengah Brazil itu.

Malah pengurus kelahiran Jerman itu berkemungkinan akan menyenaraikan bekas pemain Monaco itu menentang Red Star Belgrade dalam kancah Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi esok.

Sekali pun Klopp tidak mengesahkan sama ada pemain berusia 25 tahun itu akan berada dalam kesebelasan utama atau di bangku simpanan, kehadirannya mampu menutup ruang selepas Reds kehilangan Jordan Henderson dan Naby Keita susulan kecederaan.

“Kamu datang ke kelab baru dan ia bergantung sedikit dengan personaliti kamu,” kata Klopp yang baru dua kali menyenaraikan Fabinho dalam kesebelasan utama Liverpool. “Dia bukannya orang paling lantang di planet ini.

“Ia bukannya dia datang dan berkata: ‘Kamu semua duduk dan saya akan menjelaskan bagaimana kami melakukannya kerana Monaco berada di separuh akhir Liga Juara-Juara tahun sebelum itu dan menjadi juara Perancis.

“Saya belum memutuskan kesebelasan utama lagi tetapi dia sudah beberapa bulan berada di sini, sudah biasa dengan beberapa perkara, jadi kami akan menggunakannya.” - Reuters

Berita Harian X