Sabtu, 27 Oktober 2018 | 7:03pm
REAKSI penyokong Perak sebelum sepak mula final Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

'Perang' beralih ke dalam stadium 

SHAH ALAM: Riuh dan meriah!

Itulah suasana yang dapat dirasai di dalam Stadium Shah Alam menjelang sepak mula aksi final Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak, jam 9 malam ini.

Suasana itu nyata jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan final Piala FA 2018 membabitkan Pahang dan Selangor yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum ini.

Keghairahan penyokong kedua-dua pasukan dapat disaksikan terutamanya selepas mengambil kira kedua-dua pasukan sudah lama ‘kemarau’ untuk merangkul trofi berprestij itu.

PENYOKONG Perak dan Terengganu sebelum sepak mula final Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

Meskipun hujan pada sebelah petang namun penyokong tetap teruja untuk menyaksikan perlawanan dengan ada di antara mereka yang sudah tiba di stadium seawal jam 8 pagi.

Bukan sahaja pemain akan bertarung namun penyokong kedua-dua pasukan turut sama ‘berentap’ di luar padang sekali gus berjaya menggamatkan lagi suasana di dalam stadium.

Sekitar jam 6.30 petang, penyokong kedua dua pasukan mula memasuki stadium menyebabkan gelanggang keramat pasukan Selangor itu berubah kepada dua warna.

Kehangatan final kian dirasai apabila bahagian kanan stadium dipenuhi penyokong The Bos Gaurus yang mengenakan jersi berwarna hitam kuning sementara jersi warna putih hitam yang dipakai penyokong skuad Penyu menghiasi sebelah kiri stadium.

HUJAN tidak mematahkan semangat para peserta untuk meneruskan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1440H/ 2018 Peringkat Negeri di Stadium Negeri. - Foto BERNAMA

Dengan kehadiran kelompok penyokong tegar ‘Ultras’ kedua dua pasukan, ia menggamatkan lagi suasana.

Bukan itu sahaja, 'perang' kain rentang juga menambah rencah aksi final yang menyaksikan puluhan kain rentang digantung oleh penyokong kedua-dua pasukan sebagai tanda sokongan kepada pasukan masing-masing.

Malah, penyokong kedua-dua pasukan mengambil inisiatif sendiri apabila membawa bendera Terengganu dan Perak untuk dikibarkan sekali gus memeriahkan lagi suasana menjelang sepak mula malam ini.

Berita Harian X