Isnin, 29 Oktober 2018 | 11:15am
KYLIAN Mbappe. - Foto Reuters
KYLIAN Mbappe. - Foto Reuters

Mbappe lepas geram

PARIS: Selepas hanya dimasukkan sebagai pemain gantian, Kylian Mbappe melepaskan geram dengan meledak gol pembukaan untuk Paris Saint-Germain (PSG) ketika menewaskan Marseille 2-0, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan PSG merekodkan 11 kemenangan daripada 11 aksi Ligue 1 musim ini dan kekal sebagai rekod kemenangan terpanjang di Eropah.

Mbappe terkejut apabila diletakkan di bangku simpanan oleh jurulatih, Thomas Tuchel - dan difahamkan ia adalah satu ‘hukuman’ ke atas pemenang Piala Dunia itu kerana datang lewat untuk sesi perbincangan pasukan sebelum perlawanan.

Namun, pemain sensasi remaja ini membuktikan dia memang diperlukan pasukan apabila dibawa masuk pada minit ke-62 dalam pertembungan 'Le Classique' dan terus meledak gol, tiga minit selepas itu.

Dia bijak memanfaatkan hantaran Angel di Maria dan berlari untuk melepasi halangan Steve Mandanda.

Jaringan itu adalah yang ke-10 buat Mbappe dalam Ligue 1 untuk musim ini dan Julian Draxler memuktamadkan saingan dengan meledak gol kedua PSG pada masa kecederaan.

Kemenangan ke-11 berturut-turut sejak awal kempen itu membolehkan PSG menyamai rekod Tottenham Hotspur yang dilakukan pada musim 1960-61, - rekod paling besar dalam sejarah lima liga utama di Eropah.

“Inilah yang pasukan perlukan,” kata Mbappe kepada Canal Plus.

“Pasukan yang hebat bergantung kepada daya kepemimpinan dan mereka mampu melakukan impak besar. Saya boleh memainkan peranan itu dan saya sudah melakukannya hari ini.

Pencapaian menakjubkan itu melonjakkan nama Tuchel, walaupun ia sedikit tercemar apabila PSG agak hambar dalam saingan Liga Juara-Juara, termasuk tewas 2-3 kepada Liverpool pada aksi pembukaan dan seri 2-2 dengan Napoli, minggu lalu.

Namun, pengendali dari Jerman itu menegaskan, keputusan yang diraih PSG berjaya mengenepikan isu pengguguran Mbappe dan baginya, ia tidak perlu diperbesarkan.

“Saya tidak sukar beraksi tanpa Kylian. Saya benci apabila dia tiada dalam perlawanan seperti ini,” katanya.

Dalam saingan Ligue 1, PSG kini mendahului liga dengan kelebihan lapan mata, mengatasi pasukan tangga kedua, Lille yang menewaskan Caen 1-0.

Marseille pula di tangga kelima dan ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu. - AFP

Berita Harian X