Selasa, 6 November 2018 | 12:06am
Reaksi Ketua Jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac ketika pasukannya menentang SC Freiburg pada Bundesliga di Munich, Jerman. - Foto epa

Pemain 'tidak suka' Kovac - Matthaeus

MUNICH: Nasib Niko Kovac bersama Bayern Munich bagaikan telur di hujung tanduk selepas legenda Jerman, Lothar Matthaeus mendedahkan betapa pengendali itu sudah hilang sokongan pemain bintang di bilik persalinan.

Bayern masih boleh meloloskan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara sekiranya mereka mengatasi AEK pada awal pagi Khamis ini dan Benfica tewas di Ajax dalam satu lagi aksi Kumpulan E.

Bagaimanapun, semuanya tampak tidak menjadi buat gergasi Bavaria itu yang kini menghuni tangga ketiga Bundesliga selepas sekadar terikat 1-1 dengan Freiburg untuk ketinggalan empat mata di belakang peneraju, Dortmund.

Selepas hanya empat bulan mengambil alih pasukan, Kovac berada dalam situasi tertekan dan hampir setiap hari dikritik media Jerman.

“Ketika ini suasana pasukan Bayern umpama huru-hara, tiada semangat bersatu padu, tidak agresif ataupun menikmati permainan,” kata Matthaeus.

“Saya tidak nampak siapa yang mengendali pasukan itu. Kovac gagal membina hierarki pada permulaan musim dan semuanya bagaikan tidak kena di sana.

“Niko perlu melakukan sesuatu untuk memastikan pasukannya kembali berada di belakangnya. Mereka ini pemain yang berbeza daripada individu yang pernah dilatihnya sebelum ini.”

Matthaeus berkata, masalah itu makin jelas kelihatan apabila isteri Thomas Muller mengkritik Kovac di Instagram gara-gara tidak berpuas hati dengan pengguguran suaminya daripada kesebelasan utama.

Namun, Lisa Muller segera memadamnya dan kemudian tampil memohon maaf kepada Kovac.

“Kenyataan oleh Lisa Muller ini merumuskan segala perihal yang terjadi,” kata Matthaeus.

“Ia pastinya menjadi antara perbualan di rumah, tidak semua pemain kini berada di belakang Niko. Ada pemain yang tidak berpuas hati.” - AFP

 

 

Berita Harian X