Selasa, 6 November 2018 | 1:00pm
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim. - Foto Owee Ah Chun
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim. - Foto Owee Ah Chun

Tak mahu 'lebih sudu daripada kuah'

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu dilabel 'lebih sudu daripada kuah' berhubung pemilihan pemain skuadnya musim depan.

Sebaliknya, pakar taktikal itu menyerahkan kepada kebijaksanaan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) selain perbincangannya dengan persatuan itu berhubung perkara itu.

Hal ini kerana ada pemain dikatakan meletakkan harga di luar kemampuan persatuan selepas muncul naib juara Piala Malaysia musim ini.

Malah kejayaan itu juga menyebabkan 'saham' pemain melonjak selepas menjadi buruan beberapa pasukan yang inginkan khidmat mereka.

"Terengganu tidak boleh nak ikut pemain yang meminta gaji di luar kemampuan persatuan. Sekiranya pemain yang kita mahu tapi mereka tidak setuju bersama TFC, saya sudah ada beberapa pilihan termasuk ke luar negara untuk mencari pemain jika berlaku hal demikian," ujar Irfan Bakti yang sudah mengikat kontrak baharu bersama skuad Penyu itu musim depan biarpun sebelum ini diintai pasukan dari utara tanah air.

Mengenai status semua pemainnya musim ini, bekas pemain kebangsaan itu meminta peminat bersabar kerana keputusannya akan dibuat dalam masa terdekat.

"Saya minta penyokong skuad Penyu bersabar kerana kita masih dalam proses rundingan dan perbincangan dengan pemain. Jika semua selesai kita akan maklumkan pemain yang kekal dan sebaliknya," kata Irfan Bakti.

Berita Harian X