Jumaat, 9 November 2018 | 4:04pm
JURULATIH skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto Owee Ah Chun
JURULATIH skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto Owee Ah Chun

Bukan aksi terbaik Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Selepas bergelut untuk menewaskan Kemboja 1-0 semalam, jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya supaya segera meningkatkan prestasi andai mahu melangkah jauh dalam kempen Piala AFF 2018.

Beliau berkata, mereka perlu memburu mata maksimum apabila turun menentang Laos pada aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin ini yang dianggap cukup penting dalam menentukan nasib mereka dalam saingan Kumpulan A.

“Saya fikir secara keseluruhan persembahan pemain masih boleh ditingkatkan tapi apa yang penting kita dapat tiga mata dan kita akan cuba perbaiki prestasi dalam satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Memang dalam mana-mana pertandingan, perlawanan pertama agak sukar untuk mendapatkan momentum, apatah lagi bermain di padang tiruan sedikit sebanyak menjejaskan hantaran kita tapi saya rasa pemain juga menunjukkan komitmen untuk mendapat tiga mata yang cukup penting.

“Kita kena kekalkan momentum pada perlawanan seterusnya untuk mendapatkan mata maksimum menentang Laos,” kata Tan Cheng Hoe dalam sidang media semalam.

Kemboja dan Laos seharusnya menjadi ‘lubuk’ mata buat Harimau Malaya sebelum mengharungi aksi lebih sukar menentang dua pasukan yang mara ke separuh akhir pada 2016 – Vietnam dan Myanmar.

Laos yang turut beraksi semalam tewas 0-3 kepada Vietnam di laman sendiri.

Cheng Hoe yang menjadi penolong jurulatih Datuk K Rajagobal ketika menjulang kejuaraan pertama 2010 di Jakarta, Indonesia percaya mereka boleh mencatat kemenangan lebih selesa ke atas Kemboja andai bahagian serangan lebih lebih tajam.

“Selepas menjaringkan gol, kita dapat keyakinan dan pada separuh masa kedua kita bermain dengan lebih baik cuma peluang yang ada disia-siakan,” katanya yang pulang bersama pemain ke tanah air hari ini.

Berita Harian X