Sabtu, 17 November 2018 | 6:49pm
NOKMAN Mustaffa (kiri) dan Datuk Zaiton Othman.
NOKMAN Mustaffa (kiri) dan Datuk Zaiton Othman.

KLFA pening tindakan Zaiton

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bingung dengan tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang mengarahkan supaya kongres ke-31 badan induk itu ditangguhkan meskipun proses pencalonan berjalan mengikut statut persatuan.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, terdapat beberapa keraguan berhubung keputusan PJS itu termasuk dakwaan memiliki bukti kukuh mengenai unsur paksaan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KLFA bagi penggal 2018-2022.

Katanya, pihaknya tidak pernah menggunakan sebarang bentuk paksaan kepada ahli gabungan untuk memilih mana-mana individu kerana segala proses pemilihan berdasarkan statut badan induk itu.

"Dari awal kita menjalankan kerja (Kongres KLFA) mengikut statut atau peraturan mesyuarat yang ada. Saya hairan bagaimana PJS boleh mengeluarkan notis penangguhan tanpa merujuk kepada KLFA terlebih dulu.

"Sebaliknya, PJS membuat keputusan berdasarkan dakwaan luar dan bukannya daripada sekretariat kami. 

"Cuba bayangkan kalau dakwaan itu datangnya daripada kumpulan Datuk Rashid Hasnon, sudah tentu ia tidak relevan kerana mereka tewas kepada kumpulan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan yang mendapat pencalonan mencukupi sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mendesak supaya kongres itu ditangguhkan buat seketika selepas tidak berpuas hati apabila hanya menerima 12 berbanding 16 pencalonan peringkat awal berdasarkan borang pencalonan semua ahli gabungan yang menyokongnya.

Sebaliknya, penyandang jawatan presiden, Adnan berjaya meraih pencalonan mencukupi iaitu 18 sokongan daripada 31 ahli gabungan KLFA yang menyaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah itu kekal memimpin persatuan itu.

"Nama pun pencalonan awal, sudah tentu ia boleh berubah apabila tiba hari pengundian. Malah, notis pemberitahuan penangguhan juga tidak telus.

"Macam mana, surat yang dikeluarkan PJS boleh diedarkan kepada ahli gabungan sedangkan surat pemberitahuan mestilah datang daripada KLFA. Bukan itu saja, hasrat saya untuk bertanding sebagai Exco KLFA juga dipertikaikan oleh PJS.

"Saya ada hak untuk bertanding walaupun saya ketika ini adalah Setiausaha Agung. Contoh mudah, Datuk Hamidin Mohd Amin yang sebelum ini Setiausaha Agung FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) boleh saja bertanding Presiden FAM.

"Jadi, pada saya arahan penangguhan oleh PJS tidak berasas sama sekali. Sepatutnya mereka rujuk pada kami sebagai sekretariat yang menjalankan proses pemilihan ini," kata Nokman.

Semalam, Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mengumumkan kongres KLFA yang sepatutnya berlangsung esok ditangguhkan untuk memberi ruang kepada proses siasatan lanjut dan pendengaran dilakukan selepas menerima surat bantahan ahli gabungan KLFA yang tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan pelaksanaan kongres yang disifatkan menafikan hak ahli. 

Berita Harian X