Ahad, 18 November 2018 | 10:40am

RR Cougars FC sedia kembang sayap

PETALING JAYA: Naluri keibuan yang mahu melihat anaknya berjaya dalam kerjaya bola sepak mendorong pelakon, Rita Rudaini menubuhkan kelab bola sepak RR Cougars FC yang berpangkalan di pusat beli belah One Utama.

Dengan menggunakan wang simpanan sendiri, sejak enam bulan lalu, Rita menubuhkan kelab itu selepas anaknya Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, menunjukkan minat mendalam terhadap sukan bola sepak.

Pelakon jelita filem Mami Jarum Junior itu mengakui dia tiada halangan jika kedua-dua anaknya mahu mengikut jejak langkah bapa mereka, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yang kini mengetuai skuad Harimau Malaya di saingan Piala AFF.

"Saya tiada halangan jika mereka mahu bergelar pemain bola sepak profesional dan mewakili pasukan kebangsaan apabila dewasa nanti.

"Saya tegaskan kepada Rayyan dan Arjuna, kalau mahu jadi pemain profesional, mereka kena betul-betul fokus, bermain bersungguh-sungguh dan serius.

"Ini kerana saya mahu melihat mereka bermain dengan kelab tersohor di luar negara, bukan setakat mewakili negara dan bermain untuk kelab liga tempatan sahaja," katanya.

Perkara itu penting kerana dia berharap mereka bukan hanya dapat menjadi pemain bola sepak biasa, malah perlu berusaha kerasa untuk menjadi bintang bola sepak seperti Allahyarham Mokhtar Dahari yang dikenang sehingga ke hari ini.

"Saya juga akan bantah jika Rayyan dan Arjuna mahu menjadi pemain bola sepak profesional semata-mata untuk mengejar populariti saja," katanya.

Sebelum ini Rita mengakui, Rayyan dan Arjuna lebih berminat kepada sukan badminton bersama rakan-rakannya di sekolah.

"Biasalah budak-budak ini apabila dipengaruhi rakan-rakan maka minat dan hobi mereka akan berubah.

“Selepas mendapati mereka benar-benar minat bola sepak, maka saya mengambil. keputusan untuk tubuh kelab bola sepak ini.

Presiden Kelab Bola Sepak RR Cougars FC, Rita Rudaini (dua kanan) memberi taklimat ketika sesi latihan pasukan bola sepak beliau di Fustal One Utama. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Tindakan itu perlu kerana jika saya beri peluang untuk bermain dengan sekolah sudah pasti ruang untuk bereka pergi lebih jauh amat tipis kerana tempat amat terhad kerana mereka masih baharu.

"Apabila tubuh kelab sendiri mereka lebih mudah bagi Rayyan dan Arjuna menimba pengalaman dan mempelajari teknik bola sepak dan futsal dengan betul daripada jurulatih, ‪Ahmad Hazra Muhamad Zaki dan Budiyanto Mat Nanto.

"Kalau tengok pada hari pertama latihan memang teruk kerana hampir semua pemain yang datang termasuk anak saya langsung tidak tahu bermain dan sepak bola pun tidak kena berikutan tiada asas permainan itu," katanya ketika meninjau sesi latihan kelabnya di sebuah gelanggang futsal di sini.

Bagaimanapun, Rita berkata jurulatih memaklumkan perkara itu biasa dan bakat mereka boleh digilap dan diajar sehingga mereka mula menunjukkan potensi sebenar apabila menyertai kejohanan bola sepak dan futsal.

"Selepas menyertai beberapa kejohanan kini saya berasa gembira dan bangga dengan pencapaian mereka terutama Rayyan dan Arjuna yang kini diberikan kepercayaan untuk bermain di posisi penyerang dan penjaga gol.

"Anak saya bukan dilahirkan dengan bakat semula jadi, tetapi Alhamdulillah berkat usaha gigih dan bimbingan jurulatih mereka boleh bermain dengan lebih baik sekarang," katanya.

Dalam pada itu Rita berkata pihaknya kini sedang mengadakan rudingan dengan beberapa kelab dan pasukan negeri bagi memastikan pemain RR Cougar FC diserapkan ke pasukan pelapis jika mereka mempunyai bakat sesuai.

Presiden Kelab Bola Sepak RR Cougars FC, Rita Rudaini (belakang kanan) bersama pasukan bola sepak RR Cougars FC di Fustal One Utama. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Info: RR Cougar FC

Jurulatih: ‪Ahmad Haz Muhamad Zaki (lesen B) dan Budiyanto Mat Nanto (Lesen D)

Bilangan pemain kelab:

• Bawah 6 tahun (B6) - 10 orang

• Bawah 8 tahun (B8) - 10 orang

• Bawah 10 tahun (B10) - 20 orang

• Bawah 12 tahun (B12) - 15 orang

• Bawah 14 (B18) - 18 orang

• Bawah 16 (B16)- 18 orang

Pencapaian:

• Naib Juara - KDFC President Cup

• Tempat keempat Bola sepak Cilik U6

• Tempat ketiga B8 dan keempat B9, Kejohanan RR Junior Cup

Berita Harian X