Ahad, 18 November 2018 | 11:12pm
GRANIT Xhaka - Foto EPA

Emery 'aneh' tapi bagus - Xhaka

LONDON: Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka percaya dia berada di prestasi terbaiknya bersama Gunners dan puncanya adalah disebabkan kehadiran Unai Emery yang ‘aneh’ di Emirates.

Xhaka menyertai Arsenal pada 2016 dengan perjanjian dilaporkan mencecah AS$51 juta dolar (RM213.58 juta) selepas beraksi selama empat tahun di Bundesliga Jerman bersama Borussia Monchengladbach.

Begitupun, sepanjang dua musim di Liga Perdana Inggeris, pemain Switzerland itu bergelut untuk meyakinkan peminat Gunner dan sering dianggap pelik berikutan corak permainan agresif yang ditampilkan di bahagian tengah bertahan.

Dia tersungkur ketika Arsenal tewas kepada Manchester City dan Chelsea di awal musim tetapi meningkatkan prestasinya selepas itu terutama selepas digandingkan bersama seorang lagi pemain tengah bertahan, Lucas Torreira.

Justeru, dia mengucapkan terima kasih kepada Emery yang menggantikan Arsene Wenger menjelang musim 2018-19.

“Ia jelas musim terbaik saya setakat ini,” kata Xhaxa. “Tanpa ada keraguan, saya fikir saya mengambil satu langkah ke depan. Ia perasaan terbaik saya rasa sejak tiba di Arsenal dan jurulatih mempunyai pengaruh yang besar.

“Dia mempersiapkan kami semua dan kami mempunyai pelan. Kami tahu bagaimana untuk melakukannya dengan dan tanpa bola. Kami tahu bagaimana dan bila untuk berdiri.

“Emery  seperti Lucien Favre (bekas jurulatih Gladbach), seorang yang aneh yang sentiasa mengarahkan kami ke depan dan ke belakang, 10 kali, sehingga semuanya faham.”

Xhaxa turut mendedahkan dia langsung tidak berhubung dengan Emery sehingga selepas Piala Dunia 2018 berakhir.

“Apabila saya kembali menjalani latihan, perkara pertama dia beritahu saya ialah: Granit, kamu adalah salah seorang daripada lima kapten saya. Saya berada di salah satu kelab 10 terbaik di dunia, jadi ia membanggakan kamu dan memberikan kamu keyakinan.” - Agensi

Berita Harian X