Isnin, 19 November 2018 | 5:36pm
KAMARUDIN Hassan, (kiri) pada sidang media mengenai isu Kongres Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kali ke-31 di Stadium KLFA, Cheras. - NSTP/Azhar Ramli
KAMARUDIN Hassan, (kiri) pada sidang media mengenai isu Kongres Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kali ke-31 di Stadium KLFA, Cheras. - NSTP/Azhar Ramli

KLFA mahu heret PJS ke SPRM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak teragak-agak mengheret isu penangguhan Kongres KLFA ke-31 ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mempertikaikan soal integriti dan urus tadbir yang lemah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) diketuai Datuk Zaiton Othman.

Naib Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan berkata, arahan penangguhan kongres yang sepatutnya berlangsung semalam menimbulkan keraguan kerana pihaknya langsung tidak dihubungi bagi menjelaskan senario sebenar.

Katanya, PJS sebaliknya mahu merujuk isu itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang disifatkan Kamarudin silap dan tidak betul.

“Kenapa Zaiton tak panggil KLFA, hanya dengar sebelah pihak saja dan dalam surat itu ada menyebut memanggil FAM. Apa kena mengena FAM dengan kemelut KLFA ini.

“Ini rumah tangga KLFA kenapa nak kena rujuk kepada FAM. Persoalannya mengapa PJS tidak memanggil KLFA untuk berbincang permasalahan yang ditimbulkan oleh ahli gabungan kami.

“Kedua, surat yang diberikan kepada KLFA pihak ketiga (ahli gabungan) pula dapat dulu. Surat itu yang dihantar kepada kami melalui e-mel pada 15 November lalu macam mana boleh diterima oleh orang lain. Sepatutnya surat pemberitahuan penangguhan itu perlu dikeluarkan oleh kami untuk diedarkan kepada ahli gabungan dan bukannya PJS.

“Ini menunjukkan PJS tak ada integriti dan pengurusan mereka tak betul. Saya membantah apa yang PJS buat kerana salurannya salah. Kita boleh buat laporan kepada SPRM dan rasanya kita akan buat kerana nampak sangat ketelusan PJS boleh dipertikaikan,” katanya pada sidang media khas di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, hari ini.

Menerusi laporan Sukan NSTP Sabtu lalu, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa mengakui bingung dengan tindakan PJS yang mengarahkan supaya kongres badan induk itu ditangguhkan meskipun proses pencalonan berjalan mengikut statut persatuan.

Malah apa yang lebih malang, arahan penangguhan itu dikeluarkan tiga hari sebelum kongres yang menyaksikan KLFA terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000 selepas menempah dewan hotel, makanan, elaun staf dan banyak lagi.

“Tarikh tutup pencalonan 5 November lalu. Tapi kenapa pada 15 November iaitu tiga hari sebelum kongres PJS mengeluarkan notis penangguhan. Kenapa tidak sepanjang tempoh 6, 7, 8, 9 atau 10 November tak panggil kami untuk bincangkan hal ini.

“Ini bukan persatuan kampung dan rasanya persatuan kampung pun ikut peraturan yang betul. Bagi saya ada yang tak kena, sebab itu saya nak bersemuka dengan Zaiton,” katanya.

Berita Harian X