Selasa, 20 November 2018 | 5:02pm
HADI Fayyadh Abdul razak. - Foto NSTP/Osman Adnan
HADI Fayyadh Abdul razak. - Foto NSTP/Osman Adnan

Hadi patut tiru Chanathip, Osako

KUALA LUMPUR: Status selaku antara penyerang muda terbaik di Malaysia mungkin tidak memberi jaminan buat penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk menempatkan diri dalam skuad Fagiano Okayama yang beraksi dalam divisyen dua Liga Jepun (J2).

Justeru, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menggesa pemain muda negara itu supaya berusaha dengan gigih dan mengambil peluang bagi meningkatkan kemahiran untuk menjadi pemain yang lebih baik pada masa akan datang.

Ketika penyerang itu sekali lagi akan menjalani latihan bersama pasukan berkenaan bermula Khamis ini, Hiroshi mengharapkan tuah kali kedua akan membantu Hadi Fayyadh supaya terus 'melekat' bersama pasukan itu bagi mengharungi saingan musim hadapan.

"Umurnya masih muda dan ini membolehkan dia mencari pengalaman di tempat yang terbaik. Meskipun dia dipandang sebagai antara prospek terbaik di Malaysia, namun situasi itu amat berbeza di Jepun kerana tahap dan kualiti antara dua negara yang jauh berbeza.

"Secara peribadinya, saya mengharapkan dia dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam sesi latihan bersama Fagiano Okayama dan seterusnya mendapatkan tempat," katanya.

Dalam masa sama, Hamada juga mahu bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu supaya dapat mengikut jejak langkah pemain Thailand, Chanathip Songkrasin yang mencipta nama bersama Hokkaido Consadole Sapporo dan penyerang Jepun, Yuya Osako yang beraksi di Piala Dunia 2018.

"Saya melihat Hadi Fayyadh memiliki potensi seperti Chanathip. Sebelum ini, dia juga dipandang tinggi di negaranya namun selepas berada di Jepun, dia sedikit bergelut sebelum berjaya membuktikan kemampuannya dengan menjadi penjaring gol kedua terbanyak pasukannya pada musim ini.

"Bukan itu sahaja, saya juga mahukan dia supaya dapat mengikut jejak langkah Osako kerana mereka berdua mempunyai latar belakang bola sepak yang lebih kurang sama," katanya.

Berita Harian X