Selasa, 20 November 2018 | 7:31pm
TAN Cheng Hoe ketika melihat pasukannya menjalani latihan ringan pada hari kedua sempena persiapan menjelang perlawanan Piala AFF 2018 kumpulan B menentang Myanmar pada sabtu ini di Padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai. - NSTP/Hazreen Mohamad

Cheng Hoe masih percaya Sumareh

NILAI: Biarpun sudah beraksi dalam dua perlawanan menentang Kemboja dan Vietnam, impak pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh masih belum kelihatan dengan dia dilihat bergelut untuk mencapai potensi sebenar.

Begitupun, pengendali kebangsaan Tan Cheng Hoe masih meletakkan kepercayaan tinggi kepada pemain Pahang itu dan berharap dia akan menemui sentuhan berbisanya apabila menentang Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menurut Cheng Hoe, Sumareh mempunyai kebolehan tersendiri yang boleh dijadikan aset terbaik buat Harimau Malaya untuk memburu jaringan.

"Kita dapat lihat ketika dia beraksi bersama Pahang di Liga Super di mana dia mempunyai kemahiran tinggi menerusi larian di sebelah tepi bagi membuka ruang buat penyerang menjaringkan gol.

"Saya percaya dia boleh membantu pasukan dengan aksi sama, cuma dia perlukan masa lagi.

"Saya akan terus berikan peluang kepadanya dan berharap dia akan menjadi ketika bertemu Myanmar nanti bagi mengucar-ngacirkan pertahanan lawan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Padang Latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Dalam aksi pertama ketika menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Sumareh dilihat gagal mempamerkan aksi sebenar apabila pergerakannya mudah dipatahkan pertahanan lawan.

Sebaliknya, penyerang tempatan, Norshahrul Idlan Talaha muncul wira dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk meraih kemenangan 1-0 sebelum dia kemudiannya disisihkan pada aksi kedua ketika pasukan berjaya mencatat kemenangan kedua ke atas Laos (3-1) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, untuk aksi ketiga berdepan Vietnam di Hanoi, Cheng Hoe kembali menyenaraikan Sumareh namun terpaksa dikeluarkan pada babak kedua dan digantikan dengan pemain lain.

Malaysia bagaimanapun tewas kepada Vietnam 0-2 dan wajib menang ke atas Myanmar jika berhajat untuk melepasi peringkat kumpulan.

Ini kerana Harimau Malaya kini menghuni tangga ketiga selepas dipisahkan perbezaan jaringan biarpun berkongsi enam mata bersama Vietnam dan Myanmar.

Berita Harian X