Jumaat, 23 November 2018 | 12:39pm
CRISTIANO Ronaldo. - Foto AFP
CRISTIANO Ronaldo. - Foto AFP

Ronaldo kembali beraksi

ROME: Cristiano Ronaldo akan kembali beraksi buat juara Itali, Juventus menentang SPAL, awal pagi Ahad selepas terlepas aksi kelayakan Liga Negara-Negara Eropah bersama Portugal ketika laporan menyatakan dia diketepikan daripada senarai tiga calon akhir anugerah Ballon d’Or.

Bintang berusia 33 tahun itu pernah meraih anugerah itu sebanyak lima kali, namun mungkin dipinggirkan daripada senarai tiga pemain terakhir dengan pemenang akan diumumkan di Paris pada 3 Disember depan.

Ronaldo direhatkan untuk empat aksi terakhir Portugal tatkala juara Euro 2016 itu muncul pasukan pertama melangkah ke pentas final Liga Negara-Negara Eropah.

Sepanjang rehat antarabangsa Ronaldo mengambil cuti ke London, dengan wujud dakwaan dia mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya, Georgina Rodriguez sebelum kembali ke Turin.

“Apa yang saya boleh beritahu anda apabila saya kembali saya melihat Cristiano menjalani latihan seperti biasa, profesional dan memberikan yang terbaik,” kata rakan sepasukan Juventus, Mattia De Sciglio.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana saya tidak tahu menahu,” kata pertahanan Itali itu berkenaan laporan terbaru berhubung Ballon d’Or.

Juventus menerima kunjungan SPAL – pasukan yang berada empat mata di atas zon penyingkiran  dengan misi untuk mengekalkan kelebihan enam mata ke atas Napoli yang menjadi tuan rumah kepada Chievo.

Gergasi Turin itu kemudiannya akan melayan Valencia dalam aksi genting Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu ini selepas tewas mengejut kepada Manchester United.

Massimiliano Allegri turut mendapat rangsangan terbaik menjelang aksi awal pagi Ahad ini apabila boleh menggunakan khidmat Paulo Dybala, Joao Cancelo dan penjaga gol Wojciech Szczesny.

 

Jadual

Esok

Udinese mln Roma, 10mlm

 

Awal pagi Ahad

Juventus mln SPAL, 1pagi

Inter Milan mln Frosinone, 3.30pagi

 

Ahad

Parma mln Sassuolo, 7.30mlm

Bologna mln Fiorentina, 10mlm

Empoli mln Atalanta, 10mlm

Napoli mln Chievo, 10mlm

 

Berita Harian X