Sabtu, 24 November 2018 | 8:33am
Pemain Mancester City, Benjamin Mendy.- Foto 90min.com

Tiada pengganti Mendy

MANCHESTER: Pep Guardiola berkata, Manchester City tidak akan membeli pemain pada Januari ini, untuk menggantikan Benjamin Mendy dalam tempoh jangka pendek selepas pemain berkenaan mengalami kecederaan.

Guardiola percaya pasukannya sudah cukup kuat untuk mengharungi saingan hingga hujung musim walaupun mereka kehilangan Mendy, Kevin De Bruyne, Bernardo Silva dan penjaga gol simpanan, Claudio Bravo.

Perancang Belgium, De Bruyne dan pemain tengah Portugal, Silva hanya akan kembali beraksi dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam tempoh 10 hari lagi namun Mendy terpaksa berehat selama 12 minggu selepas melakukan pembedahan di lutut kiri.

"Kita tidak akan membuat sebarang pembelian (Januari). Saya gembira dengan skuad yang ada sekarang, pemain akan kembali sembuh. Jadi tidak ada sebarang pembelian pemain baru," kata Guardiola.

Komen Guardiola itu memberi bayangan bahawa perpindahan pemain tengah Ajax Amsterdam, Frenkie de Jong hanya akan berlaku selepas berakhir musim ini.

De Jong yang dikaitkan akan berpindah ke Stadium Etihad, difahamkan bakal memainkan peranan jangka panjang untuk menggantikan Fernandinho di bahagian tengah.

Fernandinho, 33, beraksi dalam kesebelasan utama kesemua 12 perlawanan liga musim ini, dengan Guardiola melabelkannya sebagai 'luar biasa'.

Bagaimanapun, Guardiola sedar bahawa dia perlu merehatkan pemain Brazil itu ketika jadual sibuk Disember ini apabila City akan beraksi sembila perlawanan dalam tiga kejohanan berlainan.

Ferandinho diberikan tempoh tambahan ketika rehat perlawanan antarabangsa selepas dia tidak dipilih untuk mewakili pasukan Brazil.

David Silva yang sudah bersara di peringkat antarabangsa dan Sergio Aguero diketepikan oleh Argentina, turut mendapat tempoh rehat panjang.

"Dia memerlukan rehat. Sekarang dia tidak bersama pasukan kebangsaan begitu juga David dan Sergio memperoleh lapan hari tempoh rehat. Ia satu waktu yang baik buat mereka untuk memulihkan tahap kecergasan selepas empat atau enam perlawanan berturut-turut," kata Guardiola

Pengurus City itu mengakui jika beliau akan menggunakan Fernandinho untuk masa akan datang, bermakna tidak akan ada lagi pemain baru untuk musim ini. - AFP

Berita Harian X