Rabu, 28 November 2018 | 10:26pm
PENGARAH MSNT, Ibni Amin Busu. - Foto MSNT
PENGARAH MSNT, Ibni Amin Busu. - Foto MSNT

Sudah lama pakai: Ibni

KUALA TERENGGANU: Pakaian patuh syariah bukan perkara baharu buat atlet Terengganu malah ia sudah bermula sejak 2008 lagi ketika Sukan Malaysia (SUKMA) ke-12 berlangsung di negeri itu.

Bagaimanapun ketika itu hingga kini, pemakaian menutup aurat itu tidak diwajibkan sebaliknya digalakkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) selain kesedaran atlet dan pemain sendiri serta nasihat daripada persatuan sukan yang mereka ceburi, kata Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu kepada Sukan NSTP hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan negeri yang mewajibkan pemain bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memakai pakaian menutup aurat ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) mulai tahun depan.

Mengulas lanjut, Ibni berkata, konsep menutup aurat itu yang diamalkan atlet negeri bermula dengan perlahan-lahan menerusi kesedaran dan secara konsisten mengenai cara berpakaian.

“Melalui pendekatan berhemah dan penekanan pakaian patuh syariah ini, atlet dengan sendirinya dapat mengubah cara berpakaian kerana mereka sedar mana yang boleh dan tidak boleh didedahkan.

“Selain itu MSNT juga turut memberi santapan rohani secara berterusan kepada atlet iaitu melalui sesi ceramah motivasi, solat berjemaah, solat hajat dan qiamullail bagi yang beragama Islam.

“Sebab itu kami dan atlet tidak terkejut dengan langkah kerajaan negeri yang mewajibkan pakaian menutup aurat kerana kami sudah mula sejak dulu lagi.

“Malah prestasi mereka tidak terjejas seperti dibuktikan ketika muncul juara keseluruhan SUKMA ke-19 di Perak September lalu selain menjadi kuasa sukan negara serta ‘pembekal’ utama atlet kebangsaan.

“Bagaimanapun ia belum menyeluruh lagi dan hanya sukan tertentu saja mengenakan pakaian menutup aurat termasuk bola sepak, hoki lelaki dan wanita, olahraga, silat, judo, basikal, pelayaran, luncur air, ragbi, angkat berat, badminton, futsal dan boling padang.

‘Selain Terengganu, negeri lain turut mengamalkannya seperti pasukan sepak takraw lelaki dan wanita Pulau Pinang memakai pakaian menutup aurat sejak SUKMA 2010 di Melaka lagi dan ini perkembangan positif,” kata Ibni yang mengakui Terengganu antara negeri perintis pakaian patuh syariah itu.

Berita Harian X