Ahad, 2 Disember 2018 | 7:55pm
AZMEER kini sah kembali bersama skuad Lang Merah bagi Liga Super musim 2019. - Ihsan KFA

Azmeer kembali perkuat Kedah

ALOR SETAR: Pemain pertahanan Azmeer Yusof kini sah kembali bersama skuad Lang Merah bagi Liga Super musim 2019  selepas menandatangani kontrak selama setahun bersama pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ni. 

Pengumuman berkenaan dilakukan oleh media KFA selepas Azmeer yang pernah bersama skuad Lang Merah pada musim 2016, hadir ke pejabat KFA di Stadium Darul Aman bagi melengkapkan urusan kontraknya musim depan. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pihak KFA berbangga dengan pencapaian pemain pertahanan kiri berusia 28 tahun itu yang mencapai prestasi terbaiknya dalam kancah Liga Malaysia sebelum ini. 

"Kerjayanya cukup unik dengan kejayaan membantu Kedah FA dan Kuala Lumpur FA menjulang dua kejuaraan dua musim berturut-turut - Kejuaraan Piala Malaysia pada musim 2016 untuk Kedah dan Kejuaraan Liga Premier 2017 untuk Kuala Lumpur,” kata KFA.

"Dia akan mula memulakan latihan pra-musim 2019 bersama rakan sepasukan petang esok." 

Sementara itu Azmeer ketika dihubungi berkata dia bersyukur kerana impiannya untuk kembali menyarung jersi skuad Hijau Kuning kini menjadi kenyataan. 

"Berkat doa dan penyokong setia yang mahukan saya kembali ke Kedah sudah dimakbulkan. Alhamdulillah saya amat bersyukur rezeki saya kini bersama Kedah untuk musim 2019,” kata Azmeer.

"Jika sebelum ini timbul persoalan sama ada saya mengikat kontrak dengan KFA, kini sudah terjawab yang saya kembali ke Darul Aman untuk menyahut cabaran Kedah musim depan.

"Saya tak sabar untuk bersama semua pemain dalam skuad baharu musim depan yang dibimbingAidil Sharin Sahak."

Dalam perkembangan yang sama KFA juga turut mengumumkan bekas pemain Negeri Sembilan dan Selangor, Shahrul Igwan Samsudin turut menandatangi kontrak setahun bersama skuad Liga Super Kedah. 

Berita Harian X