Isnin, 3 Disember 2018 | 12:47am
PEMAIN Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (tengah) meraikan jaringan bersama rakan pasukan dalam aksi menentang Tottenham Hotspur di Stadium Emirates, London. - Foto AFP

Aubameyang wira kebangkitan Arsenal

LONDON: Arsenal menang pertembungan tegang tetangga London ketika dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette memberi inspirasi kemenangan 4-2 mengatasi Tottenham sebentar tadi.

Skuad kendalian Unai Emery melebarkan rentetan perlawanan tanpa kalah mereka kepada 19 perlawanan dalam semua kejohanan selepas bangkit daripada ketinggalan 2-1 dalam saingan Liga Perdana antara terbaik setakat musim ini.

Penalti Aubameyang meletakkan Arsenal di depan sebelum tandukan Eric Dier dan penalti Harry Kane memberikan kelebihan buat Tottenham pada babak pertama di Stadium Emirates.

Dier yang meraikan jaringan di depan penyokong Arsenal mencetuskan pergaduhan membabitkan pemain simpanan Arsenal.

Namun keraian itu belum tamat ketika jaringan penyamaan jarak jauh Aubameyang mencetuskan kebangkitan Gunners.

Lacazette masuk dari bangku simpanan untuk meletakkan Arsenal di depan dan Lucas Torreira melengkapkan kemenangan dengan jaringan pertamanya buat kelab.

Hari yang teruk berterusan buat Jan Vertonghen, apabila pertahanan Tottenham itu dibuang padang pada penghujung permainan selepas memberikan penalti buat Arsenal.

Ia adalah kemenangan kedua Arsenal dalam sembilan perlawanan terakhir Liga Perdana menentang tetangga London yang terus memberikan saat yang baik buat skuad kendalian Emery. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X