Isnin, 3 Disember 2018 | 3:54pm
Pierre-Emerick Aubameyang merembat lalu membolosi gawang Tottenham untuk gol kedua Arsenal pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London semalam. - Foto Reuters
Pierre-Emerick Aubameyang merembat lalu membolosi gawang Tottenham untuk gol kedua Arsenal pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London semalam. - Foto Reuters

Aubameyang macam Henry

LONDON: Pierre-Emerick Aubameyang menonjolkan persamaannya dengan legenda Perancis, Thierry Henry apabila meledak gol kedua ketika Arsenal membenam Tottenham 4-2, semalam, kata Aaron Ramsey.

Penyerang Gabon itu meletakkan Gunners di depan pada minit ke-10 aksi tetangga London itu dengan menyempurnakan penalti tetapi tuan rumah kemudian ketinggalan selepas Eric Dier dan Harry Kane masing-masing menyumbat gol pada babak pertama.

Begitupun, Aubameyang membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti yang gagal dibaca penjaga gol Spurs, Hugo Lloris pada babak kedua.

Ramsey yang membuat umpanan buat jaringan ke-10 penyerang Borussia Dortmund itu dalam kempen Liga Perdana musim ini berkata teknik penyudah pemain berusia 29 tahun itu mengingatkan peminat mengenai bekas penjaring terbanyak kelab itu.

“Dia sentiasa melakukannya ketika latihan. Ia mengingatkan saya kepada penyudah Henry. Dia menakjubkan untuk kami,” kata Ramsey.

Selepas gol penyamaan itu, Arsenal tidak lagi menoleh ke belakang dengan meledak dua lagi gol menerusi Alexandre Lacazette dan Lucas Torreira untuk mengesahkan kemenangan tetapi Ramsey merasakan kebangkitan Gunners dijana oleh usaha keras Aubameyang.

“Saya fikir penting untuk kami menjaringkan gol itu. Kemudian baru kamu dapat benar-benar merasakan yang suasananya berubah. Ia benar-benar membantu kami untuk kembali berjuang dan menang dengan penuh yakin pada akhirnya,” kata Ramsey.

“Saya sudah lama berada di sini, ia amat bermakna kepada saya dan juga kepada peminat. Saya lega yang sama memainkan peranan saya dan kami semua boleh pulang dengan gembira.

“Mereka (Tottenham) boleh mempunyai kelebihan enam mata di depan kami tetapi sebaliknya kami mengatasi mereka,” kata Ramsey. - AGENSI

Berita Harian X