Selasa, 4 Disember 2018 | 12:44pm

PKNS FC sederhana namun mantap

KUALA LUMPUR: Pencabar terkuat Liga Super musim ini, PKNS FC bakal tampil lebih bersederhana bagi menghadapi saingan liga musim depan apabila mengumumkan hanya mengekalkan 11 pemain termasuk tonggak import daripada barisan pemain 2018. 

PKNS FC atau turut dikenali dengan gelaran skuad The Red Ants berjaya menampilkan aksi konsisten sepanjang musim ini di bawah kendalian Datuk K Rajagobal apabila menamatkan perlumbaan liga di tangga ketiga di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak.

Sudah tentu pencapaian itu amat luar biasa bagi sebuah kelab yang diuruskan badan korporat dengan profesional dan urus tadbir yang cekap.

Menerusi satu kenyataan dimuat naik di laman rasmi Facebook kelab itu, daripada 11 pemain yang dikekalkan, lapan daripadanya pemain berusia di bawah 25 tahun.

Antara tonggak dikekalkan adalah- Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin (penjaga gol), Tauffiq Ar Rasyid (penjaga gol), Rodney Calvin Akwensivie (pertahanan tengah), Mohamad Qayyum Marjoni Sabil (pertahanan kiri), Mohd Faizat Mohamad Ghazli (pemain sayap), Muhammad Alif Haikal (pemain sayap), Muhammad Jafri Firdaus Chew (penyerang) dan awang import Romel Morales Ramirez (pemain tengah).

Manakala pengalaman tiga tonggak senior masih mahu ditagih Rajagobal apabila mengekalkan- Nik Mohd Shahrul Azim (pertahanan kanan), P Gunalan (pertahanan kanan) dan K Gurusamy (pemain tengah).

"Berdasarkan perubahan lanskap bola sepak negeri Selangor dan juga Malaysia, PKNS FC akan bersaing dengan cara yang berbeza.

"Antara langkah wajar dirasakan perlu adalah dengan pemotongan bajet termasuk gaji pemain yang ditetapkan secara siling.

"Walaupun begitu, PKNS FC tetap optimis kejayaan mampu dicapai dengan dengan beberapa musim sebelum ini PKNS FC beroperasi dengan bajet sederhana, asalkan pasukan diurus tadbir secara korporat dan profesional," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, pencapaian terbesar PKNS FC adalah pada musim 2016 apabila mereka mara ke perlawanan akhir Piala FA sebelum tumpas tipis 1-2 di tangan JDT yang berlangsung di Stadium Shah Alam.  

Berita Harian X