Rabu, 5 Disember 2018 | 12:14pm
NORAZLAN sah menyertai skuad FELDA United FC mengharungi Liga M musim hadapan. - NSTP/Mohd Asri Saifuddin Mamat

Norazlan perkasa gawang The Fighters

KUANTAN: Bekas penjaga Selangor, Norazlan Razali sah menyertai skuad FELDA United FC mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan. 

Pengesahan itu diumumkan pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil yang mengharapkan kehadiran Norazlan membantu mengukuhkan gawang kelab itu.  "Norazlan sah bersama FELDA United dan saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan dua atau tiga pemain berpengalaman untuk menyarung jersi kelab ini.” 

"Kemasukan pemain berpengalaman perlu untuk mengimbangi dan memantapkan pasukan kerana sebahagian besar pemain yang beraksi musim ini tidak bersama The Fighters. 

"Dengan gabungan pemain senior dan muda bagi musim 2019, saya mengharapkan kelab ini dapat memberi saingan dan beraksi pada tahap terbaik," katanya. 

Dengan kehadiran Norazlan, FELDA United memiliki seorang penjaga gol berpengalaman selepas tidak melanjutkan kontrak Mohd Farizal Harun. 

Dalam pada itu, Mohd Nidzam mengesahkan tiga pemain muda iaitu Hadin Azman serta pemain B-23 negara,  Danial Amier Norhisham dan Zahril Azri bersama kelab itu. 

"Saya harap pengalaman yang mereka perolehi bersama skuad negara membantu mematangkan mereka terutama beraksi dalam Liga Super," katanya.

Berita Harian X