Jumaat, 7 Disember 2018 | 4:36pm
Bekas pemain Kedah, Muhd Akram Mahinan. - Foto Hairul Anuar Rahim

Akram pula tinggalkan Kedah

 

KUALA LUMPUR: Pemain kebangsaan, Akram Mahinan sah tidak bersama Kedah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Akram yang kini bersama Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF bakal memperkuatkan jentera tengah PKNS FC di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Akram menjadi pemain ketiga daripada Kedah menyertai Semut Merah selepas pemain tengah Ariff Farhan Md Isa dan penjaga gol, Mohd Farhan Abu Bakar.

“Kami percaya kemahiran dan pengalaman dimiliki Akram mampu membawa PKNS FC ke tahap yang lebih tinggi,” kata PKNS dalam satu kenyataan.

“PKNS juga mengucapkan selamat maju jaya buat Akram yang akan menjadi nadi penting skuad negara dalam aksi final Piala AFF, Selasa nanti menentang Vietnam.”

Kedah yang juga juara lima kali Piala Malaysia bakal tampil dengan skuad baharu musim depan selepas beberapa pemain mereka bertindak meninggalkan pasukan itu dengan Akhyar Rashid juga dikhabarkan bakal menyertai Johor Daruk Ta’zim (JDT).

Bagi PKNS pula, Rajagobal dilihat cuba melakukan perubahan besar dalam skuad Semut Merah selepas sudah membawa masuk lapan pemain baharu termasuk Akram.

Sebelum ini, Semut Merah mengumumkan sudah menandatangani bekas pertahanan Melaka United, Nicholas Ryan Swirad, Tommy Mawat Bada (PJ Rangers), Shafiq Shaharudin (Kelantan) dan Mohamad Fandi Othman (FELCRA FC).

Semalam, juara Liga Perdana 2011 itu mengesahkan bekas penyerang MIFA, Kpah Sean Sherman dari Liberia juga sudah sah menyertai Semut Merah.

“Kpah tidak asing di Liga Malaysia kerana dia mewakili MIFA pada 2018 dan membantu pasukan itu menduduki tangga ketiga Liga Perdana. Dia menjaringkan 14 gol daripada 19 penampilan.

“Kpah juga menjadi pemain Liberia kedua yang mewakili PKNS selepas Patrick Ronaldinho Wleh,” kata PKNS dalam kenyataan.

Berita Harian X