Sabtu, 8 Disember 2018 | 10:57am
Mauricio Pochettino. - Foto EPA

Wembley terbaik di dunia - Pochettino

LONDON: Mauricio Pochettino menyifatkan Stadium Wembley sebagai ‘gelanggang terbaik di dunia’ bagi aksi bola sepak meskipun masih kecewa dengan penantian lama Tottenham untuk berpindah ke stadium baharu mereka.

Pertahanan Spurs, Danny Rose minggu ini meluahkan kekecewaannya dengan tempoh lanjutan kelab di stadium kebangsaan itu dengan kebanyakan penyokong Tottenham turut bersetuju apabila hanya 33,000 hadir menyaksikan kemenangan mereka ke atas Southampton, pertengahan minggu ini.

Namun Pochettino yang pernah beraksi di Stadium Wembley lama bersama Argentina pada 2000, dilihat mempertahankan laman sendiri sementara kelab itu.

“Sekiranya anda bertanya kepada saya, sudah pasti saya amat gembira beraksi di Wembley,” katanya. “Saya lahir di Argentina. Apabila saya mendengar mengenai England buat kali pertama, semuanya berkisar masalah di Falklands.

“Kemudian apabila saya tiba di Eropah, apabila saya bermain Piala Dunia menentang England, apabila kami tiba di Southampton enam tahun lalu, sudah tentu saya mengubah pemikiran saya mengenai England.”

Pochettino, pasukan kendaliannya kini berada di tangga ketiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris berkata, bermain di Wembley sering menjadi impian.

“Kami berkata ‘satu perlawanan lagi, betapa bertuahnya kami’,” katanya. “Bagi saya, ini tempat terbaik di dunia untuk bermain bola sepak.

“Sudah tentu selepas kami berkongsinya dengan stadium baharu kami nanti - akan ada dua tempat terbaik untuk bermain, stadium baharu kami di White Hart Lane dan Wembley.” - AFP

Berita Harian X