Jumaat, 14 Disember 2018 | 8:21pm

Piala AFF: Peluang tetap 50-50

PELUANG tetap 50-50 buat Malaysia dan Vietnam umtuk merangkul kejuaraan Piala AFF 2018 walaupun skuad Naga Emas dianggap memiliki banyak kelebihan berbanding Harimau Malaya.

Berbekalkan dua jaringan tempat lawan dan beraksi di laman sendiri, Vietnam bagaimanapun perlu menunggu selepas berakhirnya aksi final kedua di Stadium My Dinh, esok bagi menentukan nasib sebenar mereka.

Tewas 0-2 kepada Naga Emas di gelanggang sama pada aksi peringkat kumpulan, bulan lalu tidak bermakna Harimau Malaya bakal menerima nasib sama pada final kedua.

Kejayaan anak buah Tan Cheng Hoe menyingkirkan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada peringkat separuh akhir membuktikan bahawa tidak mustahil Vietnam juga boleh rebah di depan penyokong sendiri.

Malah, melihat kepada rekod pertemuan dalam aksi timbal balik sepanjang Piala AFF juga tampak sentiasa memihak Harimau Malaya termasuk menang dengan agregat 2-0 dan 5-4 pada peringkat separuh akhir bagi edisi 2010 dan 2014.

Alasan tidak boleh mencipta kejutan di Hanoi seharusnya tiada dalam kamus Harimau Malaya kerana dalam bola sepak, pasukan yang bijak menggunakan peluang pasti akan menang, tidak kira di gelanggang sendiri mahupun tempat lawan.

Berdasarkan aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu, benteng pertahanan negara dilihat mudah ditembusi menerusi hantaran berbahaya jentera tengah Vietnam selain dibantu dengan kepantasan penyerang mereka.

Kehadiran semula tiga tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abd Radzak, Syahmi Safari dan Syazwan Azdik Ishak dijangka mampu memperkemaskan lagi kekebalan kubu Harimau Malaya dengan mereka tidak boleh hilang konsentrasi walaupun sesaat.


PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (tengah) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Perniagaan Penerbangan), Bo Lingam bergambar bersama penyokong tegar skuad Harimau Malaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang. Seramai 345 ahli Ultras Malaya diterbangkan pesawat khas hari ini dan esok dengan harga istimewa ditawarkan AirAsia, manakala PETRONAS menanggung pembiayaan minyak pesawat. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Harimau Malaya juga perlu menggunakan sebaik mungkin peluang ketika situasi bola mati untuk menghasilkan gol kerana ia dilihat menjadi antara kelemahan dalam skuad Naga Emas.

Bagi Vietnam pula, kepantasan yang dimiliki pemain mereka terutama di bahagian sayap sekali lagi akan dijadikan sebagai ancaman utama untuk memerangkap Harimau Malaya.

Melihat kepada aspek pertahanan mereka tidaklah skuad mana, namun apa yang menjadi kelebihan skuad Naga Emas adalah kepakaran jentera tengah yang bijak menyekat gerakan Harimau Malaya selain kreatif dalam melakukan hantaran tepat kepada penyerang.

Suka diingatkan, anak buah Cheng Hoe juga perlu bijak mengawal emosi dan tidak terpengaruh dengan provokasi yang mungkin dicetuskan pemain Naga Emas seperti beberapa situasi sama berlaku di Bukit Jalil, Selasa lalu.

PEMAIN Malaysia, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (kiri) berebut bola dengan pemain Vietnam, Nguyen Tien Linh pada perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X