Sabtu, 15 Disember 2018 | 12:01am
PASUKAN Malaysia melakukan latihan terakhir menjelang perlawanan akhir kedua Piala AFF di Stadium My Dinh, Hanoi, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
JURUTERBANG, Kapten Dominic Henry Chin bersama Pembantu Juruterbang, Kapten Ariffin Ismail dan anak kapal bergambar bersama Ultras Malaya di dalam pesawat khas AirAsia AK9336 menuju ke Hanoi bagi menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
REAKSI penyokong yang hadir ketika menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Mengaumlah hingga ke titisan peluh terakhir'

APA KATA PENYOKONG HARIMAU MALAYA

FUHHHHH, leganya!!!. Itulah ungkapan dari mulut saya selepas berakhirnya aksi Malaysia menentang Vietnam pada perlawanan pertama final Piala AFF 2018 di Stadium National Bukit Jalil pada Selasa lalu yang berakhir dengan keputusan 2-2.

Kelegaan bercampur dengan perasaan syukur kerana Malaysia masih mampu bangkit selepas ketinggalan dua gol dalam masa tiga minit di separuh masa pertama. Ternyata kehadiran 88,482 penonton pada aksi itu belum cukup memberi kelebihan kepada Harimau Malaya yang tampil buat kali keempat di pentas final.

Mereka gugup pada awalnya, terutama di bahagian pertahanan walaupun menerima sorakan padu penyokong.

Selepas ketiadaan bakal calon Anugerah Puskas, Syahmi Safari di benteng kanan dan penyenaraian Amirul Azhan Aznandi posisi itu selain Irfan Zakaria bergandingan dengan Shahrul Saad di bek tengah, kelihatannya menjadi antara faktor mengapa pasukan negara tidak beraksi seperti biasa.

Kedua-duanya tidak mampu menampung tempat yang ditinggalkan oleh Aidil Adha dan Syahmi.

Dalam pemerhatian saya, posisi Irfan pada musim ini di Liga Super untuk Kuala Lumpur banyak dimainkan di posisi nombor enam iaitu perancang bertahan manakala untuk pasukan bawah 23 tahun negara dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, dia menjadi tonggak tiga pertahanan tengah yang menyaksikan formasi 4-3-3.

Mungkin Tan Cheng Hoe boleh menggantikan Adam Nor Azlin yang mampu bermain di posisi pertahanan tengah mengikut prestasi final pertama ini walaupun bermain di posisi kiri selepas menggantikan Nazirul Naim yang cedera. Peranan menjadi pemain serba boleh boleh diadaptasikan kepada Adam untuk aksi di Hanoi malam ini.


TAN Cheng Hoe melihat pemainnya menjalani sesi latihan di Hanoi, semalam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Walau penguasaan bola di dominasi oleh pemain negara namun ketiadaan 'penetration' atau 'killer pass' dari kawasan tengah negara menjadi salah satu punca Harimau Malaya gagal mengancam kubu pertahanan Vietnam.

Dalam pada itu, rata-rata pemain Vietnam mempunyai kepantasan dan kelajuan dalam memberi tekanan ketika melakukan serangan balas. Ini yang perlu dibendung pemain.

Apa yang perlu pemain harus lakukan? Apa yang positif dalam permainan ini, dua gol yang dijaringkan mereka melalui ‘set piece’. Pemain seharusnya menggunakan kelemahan yang agak ketara dari pasukan Vietnam ini. Situasi ‘dead ball’ adalah mimpi ngeri kepada Vietnam jika kita mampu melakukan dengan sebaiknya.

Salah satu faktor yang ada dalam diri Cheng Hoe adalah ketenangan beliau menghadapi tekanan selepas pasukan ketinggalan dua gol. Bukan mudah bagi seorang jurulatih untuk memberi motivasi ekstrinsik kepada pemain selepas ketinggallan dengan melaungkan fokus sepanjang perlawanan.

Sumbangan ‘ekor’ Harimau Malaya juga tidak seharusnya dipandang enteng. Kesanggupan mereka untuk ke Hanoi kelak mungkin akan menjadi titik noktah skuad Harimau Malaya menjadi juara. Saya berharap pasukan kita berjuang sehingga titisan peluh terakhir. Kami semua rakyat Malaysia mendoakan kejayaan anda semua.

Berita Harian X