Sabtu, 15 Disember 2018 | 10:15am
AKRAM Mahinan
AKRAM Mahinan

Harimau Malaya tenang hadapi gelora Hanoi

 

HANOI: Tempoh 90 minit baki aksi terakhir perlawanan penentu juara Piala AFF malam ini pastinya cukup getir buat Harimau Malaya, namun anak buah Tan Cheng Hoe itu kini tampak tenang untuk mengharunginya.

 

Pada sesi latihan terakhir semalam di Stadium Nasional My Dinh yang bakal menjadi venue pertemuan dengan Vietnam, suasana dalam pasukan tidak menampakkan sebarang tekanan, bahkan penuh semangat.

 

Perkara itu diakui sendiri pemain tengah negara, Akram Mahinan yang percaya, mereka sudah bersedia untuk berusaha sebaik mungkin bagi memberikan kenangan terindah di bumi Hanoi.

 

“Bagi kami, semuanya dalam keadaan bersedia, mungkin kami tidak tertekan tetapi Vietnam lebih tertekan kerana beraksi di laman sendiri di depan penyokong mereka.

 

“Otak kena ‘free’, nak tertekan buat apa, kita kena tenang, (hari ini) kita buat kerja dalam padang.

 

“Kami akan buat yang terbaik untuk kenangan terindah pasukan ini, jadi kami semua sudah bersedia,” katanya.

Malaysia berdepan tugas mencabar apabila turun dengan misi wajib menang atau memerlukan seri 3-3 bagi mengulangi sejarah yang dilakar pada edisi 2010.

 

Berbeza dengan skuad Naga Emas kendalian Park Hang-seo, yang memiliki kelebihan peraturan gol di tempat lawan selepas seri 2-2 dengan Malaysia di Bukit Jalil, Selasa lalu dalam aksi pertama.

 

Malah kelebihan psikologi memihak kepada pasukan juara 2008 yang kini menduduki ranking ke-100 dunia itu apabila mengalahkan Harimau Malaya 2-0 di Hanoi pada aksi peringkat kumpulan.

 

“Bagi saya yang kalah sebelum ini, tiga kali mereka serang dan dua kali mereka berjaya sempurnakannya, kemudian kami gagal menjaringkan gol tetapi kali ini pasti berbeza.

 

“Pasukan mana yang mental kuat, tak cepat putus asa, InsyaAllah mungkin hari ini untuk Malaysia,” kata Akram yang bakal bergandingan bersama Syamer Kutty Abba di bahagian tengah.

Berita Harian X