Sabtu, 15 Disember 2018 | 11:50am
MESUT Ozil dan Aaron Ramsey. - Foto AFP

Ramsey, Ozil mungkin jadi pilihan utama Emery

LONDON: Arsenal menjangkakan Aaron Ramsey mampu disenaraikan ketika mereka berkunjung ke Southampton dalam usaha mengekalkan kedudukan 23 perlawanan tanpa kalah setakat ini.

Pemain tengah dari Wales ini, sepatutnya beraksi ketika menentang Qarabaq di Emirates dalam aksi Liga Europa pada Khamis lalu, selepas berdepan masalah buku lali yang berulang ketika melayan Manchester United.

Dia diketepikan daripada latihan pada Rabu dan Khamis, namun pengendali Arsenal, Unai Emery berharap pemain berusia 27 tahun ini akan menjadi sebahagian daripada skuadnya dalam pertembungan liga di St Mary, esok.

“Kami rasa ya,” katanya apabila ditanya sama ada Ramsey akan beraksi esok.

UNAI Emery. - Foto AFP

“Doctor mengatakan kepada saya, mereka merasakan dia boleh berlatih pada Jumaat dan Sabtu. Dia sepatutnya sudah OK untuk aksi Ahad”

Emery akan menentukan sama ada Ramsey cukup cergas atau tidak sebelum membuat keputusan menurunkan pemain antarabangsa Wales ini atau Mesut Ozil dalam senarai kesebelasan utama Arsenal.

Ozil kembali beraksi pada Khamis selepas terlepas empat perlawanan akibat kecederaan belakang dan membantu Alexandre Lacazette mencipta gol kemenangan.

Emery yakin, pemain Jerman ini cukup cergas untuk perlawanan esok, walaupun hanya beraksi sekali pada bulan ini.

“Bagi saya, masalah kecederaan itu ditangani dengan kerja keras dan dia beraksi cukup bagus pada Khamis lalu.

“Saya rasa dia akan OK untuk esok” - Agensi

Berita Harian X