Sabtu, 15 Disember 2018 | 7:06pm

Suasana pesta sebelum sepak mula

AKSI final kedua Piala AFF malam ini belum bermula namun ribuan penyokong Vietnam sudah berpesta di luar perkarangan Stadium Nasional My Dinh sejak jam 3 petang tadi (4 petang waktu Malaysia).

Mereka sudah berkumpul dengan mengibarkan bendera kebangsaan seakan tidak sabar menunggu perlawanan Vietnam dengan Malaysia malam ini.

Mereka bukan saja berarak menaiki kereta dan motosikal di sekitar stadium malah menggunakan lori dan traktor.

Kelihatan masih ada penyokong yang mencari tiket untuk menyaksikan perlawanan itu dengan mendekati ulat tiket di luar stadium.

Meskipun keadaan agak sesak dengan penyokong, tiada kekecohan berlaku antara penyokong Malaysia dan Vietnam di luar stadium.

PENYOKONG Vietnam yang hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF di Stadium My Dinh. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

GELAGAT di luar stadium sebelum bermula perlawanan akhir kedua Piala AFF di Hanoi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Malah mereka mengambil peluang bergambar bersama sementara menunggu masuk ke dalam stadium.

Pasukan keselamatan juga berada di setiap sudut bagi memantau situasi di luar dan dalam stadium.

Menurut salah seorang penyokong Harimau Malaya, Fadzli Zainal, 38, yang ditemui berkata, mereka tidak berdepan sebarang masalah untuk memasuki stadium.

“Keadaan di sini agak meriah. Tiada sebarang kecoh, saya pernah datang ke Hanoi pada perlawanan separuh akhir 2014 dan pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini jadi tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

“Cuma saya perlu meminta maaf kepada isteri saya Nana dan keluarga kerana tidak memaklumkan kepada mereka untuk datang ke sini lebih awal. Minta maaf juga kepada ‘bos’ saya sebab terpaksa ambil ‘EL’ (cuti kecemasan Isnin ini).

“Saya harap Harimau Malaya akan menang 3-2 malam ini,” katanya.

Sementara itu bagi penyokong Vietnam, Kieu Chinh, 26, suasana hari ini lebih meriah berbanding perlawanan sebelum ini.

GELAGAT di luar stadium sebelum bermula perlawanan akhir kedua Piala AFF di Hanoi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

GELAGAT di luar stadium sebelum bermula perlawanan akhir kedua Piala AFF di Hanoi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

“Saya amat teruja kerana semua penyokong bersemangat menantikan perlawanan malam ini.

“Saya yakin Naga Emas akan menang 2-1,” katanya.

Malaysia, juara 2010 dan Vietnam juara 2008 berentap sekali lagi di Hanoi bagi perlawanan akhir kedua selepas aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu berkesudahan seri 2-2.

PENYOKONG Malaysia hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF di Stadium My Dinh. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X