Ahad, 16 Disember 2018 | 12:01am
Pemain Vietnam meraikan gol jaringan Nguyen Anh Duc (dua dari kiri) ketika menentang Malaysia pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh, Vietnam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Anh Duc bukan wira'

TIADA kata selain pujian yang dihamburkan oleh jurulatih Park Hang-seo selepas menyaksikan anak buahnya menoktahkan penantian 10 tahun untuk bergelar juara Piala AFF 2018.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu mengakui, anak buahnya mengharungi pelbagai kesukaran sepanjang kempen kali ini termasuk terpaksa bekerja keras untuk menewaskan Malaysia pada final menerusi agregat 3-2 di Stadium Nasional My Dinh, sebentar tadi.

“Saya gembira kerana kami berjaya melakukan persembahan terbaik dalam tempoh dua bulan ini.

“Pemain berusaha keras untuk memenangi perlawanan ini dan pujian harus diberikan kepada mereka serta semua penyokong Vietnam,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Selepas seri 2-2 pada perlawanan final pertama di Bukit Jalil, Selasa lalu, skuad Naga Emas dalam kedudukan terbaik untuk merangkul gelaran apabila penyerang Nguyen Anh Duc menjaringkan gol awal pada minit keenam.

Bagaimanapun, Hang-seo yang disiram dengan air oleh beberapa pemainnya ketika sidang media untuk meraikan kejayaan itu tidak menganggap Anh Duc sebagai wira.

“Kita berterima kasih kepada Anh Duc kerana menjaringkan gol tapi kejayaan ini adalah usaha 22 lagi pemain dalam pasukan,” katanya.

Berita Harian X