Rabu, 19 Disember 2018 | 1:18pm
MAURICIO Pochettino. - Foto Reuters

Pochettino tak tolak mungkin ke United

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tidak menolak kemungkinan beliau akan menggantikan tempat Jose Mourinho untuk mengendalikan Manchester United.

Difahamkan, Pochettino adalah calon utama United bagi mengambil alih tempat Mourinho selepas beliau dipecat, semalam.

Pengendali dari Argentina itu menandatangani kontrak selama lima tahun dengan Tottenham pada Mei lalu dan menyuarakan hasratnya sebelum ini untuk terus kekal bersama kelab ketika mereka menunggu untuk berpindah ke stadium baharu.

Bagaimanapun, susulan pemecatan Mourinho, Pochettino didakwa terbuka dengan kemungkinan untuk berpindah ke Old Trafford.

Pengendali berusia 46 tahun itu dikatakan kecewa dengan sokongan yang diberikan pengurusan kelab berhubung pembelian pemain dengan Tottenham gagal membeli pemain baharu tahun ini.

Pochettino turut kecewa dengan struktur gaji yang terhad kelab itu dan kegagalan pengerusinya, Daniel Levy menjual pemain yang beliau tidak perlukan.

Pengurus itu membuka ruang buat United untuk memancingnya apabila mengakui beliau tidak boleh meramalkan apa yang akan berlaku hujung musim ini.

“Apa yang akan berlaku pada musim panas? Apa yang akan berlaku esok? Tiada siapa yang tahu. Apa yang paling penting adalah menikmati perjalanan ini. Buat masa sekarang saya gembira di sini.

“Apa yang akan berlaku seterusnya bukan di tangan kita, saya maksudkan keputusan di tangan kelab lain, kita tidak tahu.

“Ini bukan hal saya dan saya tidak mahu membuang masa atau tenaga kerana fokus dan tenaga saya adalah di Tottenham,” katanya. - AFP

Berita Harian X