Sabtu, 22 Disember 2018 | 8:16am
PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah diasak pemain Wolverhampton Wanderers, Conor Coady pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Liverpool sambut Krismas di tangga teratas

WOLVERHAMPTON: Liverpool bakal menyambut Krismas dengan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas jaringan Mohamed Salah dan Virgil van Dijk memastikan kemenangan 2-0 pasukan itu ke atas Wolverhampton Wanderers, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Jurgen Klopp kini berkelebihan empat mata di depan penghuni tangga kedua, Manchester City.

Bagaimanapun, City berpeluang mengurangkan jurang kepada satu  mata jika berjaya melakar kemenangan ke atas Crystal Palace di Stadium Etihad, malam ini.

Apa jua keputusan dalam perlawanan itu, rekod tanpa kalah yang diraih Liverpool selepas 18 perlawanan setakat ini menyaksikan mereka tetap akan meraikan sambutan Krismas di tangga teratas liga.

Walaupun anak buah Klopp gagal beraksi pada tahap prestasi sebenar kerana bermain dalam hujan, kemenangan itu hadir selepas kejayaan cukup penting menewaskan Manchester United 3-1, Ahad lalu.


PEMAIN Liverpool, Virgil van Dijk meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, awal pagi tadi. - Foto Reuters

“Memang sangat jelas, secara keseluruhannya ia perlawanan yang cukup sukar. Semua orang mahu memberikan tekanan.

“Kami mahu menjadi lebih kompak tetapi dalam masa sama kami juga mahu bermain secara terbuka dan itu menambah lagi kesukaran kami. Kami bertahan dengan baik.

“Hujan lebat menyukarkan kedua-dua pasukan malam ini (awal pagi tadi). Ia perlawanan yang penting dan kami sedar kami perlu bersedia.

“Kedua-dua gol yang dijaringkan sangat cemerlang, ia permainan bola sepak sempurna terutama malam seperti ini apabila sukar bermain bola sepak dengan baik,” kata Klopp.

Terdahulu, Salah membuka tirai jaringan buat Liverpool pada minit ke-18 selepas menyempurnakan gerakan yang dimulakan Sadio Mane dan pemain tengah Brazil, Fabinho.

Salah turut memainkan peranan untuk gol kedua The Reds apabila hantarannya disempurnakan Van Dijk pada minit ke-68. – REUTERS

Berita Harian X