Sabtu, 22 Disember 2018 | 11:42pm
PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kanan) melakukan rembatan gagal dihalang pemain pertahanan Burnley, Ben Mee di Stadium Emirates, sebentar tadi. - Foto AFP
PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kanan) melakukan rembatan gagal dihalang pemain pertahanan Burnley, Ben Mee di Stadium Emirates, sebentar tadi. - Foto AFP

Aubameyang ledak dua gol, pintas Salah

LONDON: Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang kini mengungguli carta jaringan terbanyak Liga Perdana Inggeris apabila meledak dua gol yang menjamin kemenangan 3 -1 ke atas kelab sedang bergelut Burnley di laman sendiri, sebentar tadi.

Kemenangan itu secara tidak langsung meletakkan pasukannya kembali di landasan kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Penyerang Gabon itu meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-14, menyudahkan lorongan daripada Sead Kolasinac yang tercetus daripada hantaran cantik Mesut Ozil.

Dia kemudiannya sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-48 untuk melengkapkan corak serangan balas yang diterapkan barisan pemain Unai Emery.

Burnley yang berada di tangga ke-18 liga dan tanpa kemenangan di laman lawan sejak September lalu, menjaringkan gol menerusi Ashley Barnes pada minit ke-63.

Pemain gantian, Alex Iwobi kembali melebarkan jurang buat Arsenal menerusi jaringan masa kecederaan susulan hantaran Ozil - pemain yang diketepikan daripada pasukan ketika mereka tewas 2-0 di tangan Tottenham Hotspur dalam saingan Piala Liga, Rabu lalu.

Aubameyang meledak 12 keseluruhan musim ini, memintas jaringan terbanyak liga oleh pemain Liverpool, Mohamed Salah selain meletakkan Arsenal di tangga kelima dengan 37 mata.

Rekod tanpa kalah 22 perlawanan Arsenal dalam kesemua kejohanan tercalar apabila tewas 3-2 kepada Southampton serta tersingkir daripada saingan Piala Liga di peringkat suku akhir, tewas di laman sendiri di tangan tetangga utara London, Tottenham. – REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X