Isnin, 24 Disember 2018 | 12:36pm
AKHYAR Rashid

Akhyar diminta buat pertimbangan bijak

KUALA LUMPUR: Pemain muda berbakat besar, Akhyar Rashid dinasihatkan agar memikirkan semasak-masaknya mengenai masa depan apabila dikaitkan bakal berhijrah ke Perlis musim depan.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh, pasukan Perlis bukanlah destinasi terbaik buat pemain seperti Akhyar yang seharusnya mengintai peluang bermain di tahap lebih tinggi berbanding memperjudikan nasibnya di Liga FAM.

"Saya tak percaya dia (Akhyar) akan menerima tawaran Perlis untuk beraksi di Liga FAM yang kita tahu liga berkenaan adalah saingan divisyen tiga Malaysia.

"Sepatutnya pemain seperti dia harus kekal beraksi di Liga Super bersama pasukan besar seperti JDT (Johor Darul Ta'zim), Selangor ataupun Pahang dan bukannya pasukan dari liga bawahan.

"Bukan saya nak memperkecilkan pasukan bawahan, cuma kita bimbang perkembangannya kerana kualiti liga bawahan tak sama dengan Liga Super yang lebih kompetitif.

"Bagi saya, Akhyar mesti ada cita-cita besar untuk bermain di liga lebih baik. Kalau dia terima, jelas sekali dia langsung tidak ada cita-cita dalam bola sepak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) memuatnaik posting di laman Facebook NorthernLions Perlis dengan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit hadir ke rumah Akhyar di Alor Star, Kedah bagi mengadakan perbincangan dengan pemain muda itu.

Malah, dalam posting itu juga menyaksikan Amizal menyerahkan jersi skuad Singa Utara yang turut disaksikan ahli keluarga pemain berkenaan.

"Seperti saya katakan tadi, saya tak percaya dia akan ke Perlis. Saya rasa PFA hanya memanipulasi gambar dan kenyataan di Facebook untuk menarik perhatian media saja," katanya.

Sebelum ini terdapat drama di antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan JDT selepas pengurusan KFA menyatakan kelab daripada selatan itu gagal membuat permohonan rasmi kepada KFA bagi mendapatkan pemain itu. 

Sebaliknya Akhyar yang membuat permohonan untuk berpindah ke JDT sehingga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa campur tangan dan menetapkan Akhyar boleh menebus kontraknya bernilai RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.

Tambahan RM75,000 bakal dibayar oleh mana-mana pasukan yang ingin mendapatkannya kepada KFA.

Berita Harian X