Isnin, 24 Disember 2018 | 8:21pm

Trio import Kedah tiba Khamis ini

ALOR SETAR: Tiga pemain import baharu yang akan memperkasakan skuad Kedah bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan dijadualkan tiba, Khamis ini.

Tiga pemain berkenaan ialah Fernando Rodriguez dari Sepanyol, pemain kelahiran Iraq, Anmar Al-Mubaraki dan pemain Singapura Shakir Hamzah.

Seorang lagi pemain import yang akan memperkukuhkan benteng Helang Merah, Renan Alves dari Brazil pula dijangka tiba Jumaat ini.

Menurut pengumuman media rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) petang ini, pengurusan badan induk itu merancang untuk menyambut ketibaan empat pemain import terbabit bersama penyokong dalam satu majlis ringkas.

"Ketibaan pemain import terbabit adalah melalui penerbangan akhir yang akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar pada sebelah malam,” menurut kenyataan KFA itu.

Turut dimaklumkan, pihak pengurusan skuad Helang Merah turut dalam proses mengikat seorang lagi pemain import bagi memenuhi lima kuota yang ditetapkan dan difahamkan nama pemain berkenaan bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan sama, KFA turut akan mengaturkan satu sesi penerangan isu semasa bersama Kelab Penyokong Kedah yang akan diadakan di Stadium Darul Aman pada jam 5 petang Khamis ini.

"Sesi pertemuan bersama Kelab Penyokong Kedah ini akan turut dihadiri oleh Naib Presiden 1, Anas Hafiz Mustaffa, Naib Presiden 2, Khamal Idris Ali dan Naib Presiden 3, Yusuri Yusoff."

"Sesi perjumpaan ini adalah kali kedua di mana pihak pengurusan akan mengadakan dialog bersama kelab penyokong bagi berkongsi perkembangan terkini pasukan dan memberi penerangan mengenai isu semasa berkaitan bola sepak Kedah."

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X