Khamis, 27 Disember 2018 | 7:26am
Jurgen Locadia. - Foto Reuters

Locadia kecewakan Arsenal

BRIGHTON, England: Impian Arsenal berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris musnah apabila jaringan Jurgen Locadia membantu Brighton seri 1-1 di Stadium Amex, awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Unai Emery itu mendahului menerusi jaringan Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ketujuh namun Locadia menyamakan kedudukan pada minit ke-35 dan Gunners tidak lagi mampu mencari jaringan selepas itu.

Arsenal hanya menang sekali dalam empat perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, satu lanjutan kekecewaan yang bermula selepas rekod 22 perlawanan tanpa kalah pasukan lebur di tangan Southampton, 16 Disember lalu.

“Saya sedikit kecewa. Saya fikir babak pertama kunci kepada perlawanan ini. Kami bermula dengan harapan untuk menang dan mempunyai dua lagi peluang, tapi mereka berjaya menyamakan kedudukan,” kata Emery.

“Pada babak kedua, kami tidak mampu menerapkan perancangan permainan kami sendiri. Kami tidak mencipta peluang yang baik untuk memenangi perlawanan.”

UNAI Emery. - Foto AFP

Emery membuat perubahan ketika rehat, membawa masuk Alex Iwobi bagi menggantikan Mesut Ozil yang dikatakan sering mengecewakan pengendali itu.

“Ia satu taktikal. Sama saja dalam semua perlawanan. Kadangkala saya perlu melakukan perubahan taktikal.”

Emery menyenaraikan Aubameyang dan Alexandre Lacazette untuk mengemudi barisan serangan dan kedua-dua pemain itu pantas menemui rentak diinginkan.

Biarpun tidak sering digandingkan bersama selaku penyerang tengah musim ini, Aubameyang dan Lacazette dilihat mempunyai keserasian dan kedua-duanya mampu mengucar-ngacirkan penjaga gol lawan, Mat Ryan. - AFP

Berita Harian X