Khamis, 27 Disember 2018 | 10:58am
UNAI Emery. - Foto Reuters

Emery mohon maaf sepak botol

LONDON: Unai Emery memohon maaf selepas menyepak botol yang kemudian terkena salah seorang penyokong Brighton and Hove Albion.

Pengendali Arsenal yang kecewa pasukannya seri 1-1 menentang The Seagulls pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, melepaskan geram dengan menyepak botol tetapi kemudian memohon maaf.

“Saya berkata kepada mereka (penyokong), maaf, kerana saya menyepak botol selepas aksi mengecewakan buat kami pada minit-minit akhir,” kata Emery.

“Ia tidaklah kuat tapi terkena salah seorang penyokong mereka. Saya katakan kepada mereka ‘maafkan saya’.”

Arsenal gagal menterjemah penguasaan pada babak pertama kepada tiga mata – menjadikan kini hanya satu kemenangan diraih daripada lima perlawanan terakhir liga di tempat lawan.

Jurgen Locadia menyamakan kedudukan buat Brighton untuk berada 10 mata di atas zon penyingkiran selepas Pierre-Emerick Aubameyang membuka jaringan pada minit ketujuh. – Agensi

Berita Harian X