Ahad, 30 Disember 2018 | 3:23pm
Setiausaha Sulit Ketua Menteri Melaka, Yuhaizad Abdullah (lima dari kiri) diiringi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi (lima dari kanan) bergambar bersama muka baharu selepas majlis menandatangani kontrak bersama Melaka United di Seri Negeri, Ayer Keroh, awal bulan ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

MU paling banyak 'salin' pemain

KUALA LUMPUR: Saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019 pasti bertambah menarik dan menjanjikan saingan lebih sengit selepas banyak pasukan dijangka tampil dengan wajah baharu bagi mengharungi musim hadapan.

Berdasarkan perkembangan perpindahan pemain yang diperolehi daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), beberapa pasukan dilihat melakukan rombakan besar apabila membawa masuk banyak nama baharu dalam pasukan masing-masing.

Setakat ini, Melaka United (MU) yang bakal dikendalikan jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan muncul pasukan paling banyak mendapatkan muka baharu apabila mereka sah menandatangani khidmat 13 pemain.

Antara yang dilihat bakal mencuri tumpuan adalah kelibat tiga bekas kapten pasukan yang berjaya diikat MU iaitu bekas kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim; bekas kapten Selangor, Razman Roslan dan bekas kapten FELDA United, Shukor Adan serta beberapa pemain berpengalaman lain seperti Raimi Mohd Nor dan Saiful Ridzuwan Selamat.

Malah, mereka turut mengikat seorang pemain tempatan yang beraksi di Divisyen Lima Liga Jepun, Tokai FC iaitu M Kaviskumar serta anak kepada legenda bola sepak negara, Wong Kam Fook iaitu Wong Tse Yang yang sebelum ini beraksi di Hong Kong.

Selain itu, kelab lain yang turut 'menyalin kulit' adalah Selangor, PKNS FC dan Terengganu FC (TFC) yang masing-masing membawa masuk 10 pemain baharu untuk memperkasa pasukan  menjelang sepak mula liga, 1 Februari ini.

Selangor membawa masuk beberapa pemain muda berpotensi seperti Faiz Nasir (TFC), Abdul Halim Saari (Kedah) dan Norhakim Isa (PKNP FC) manakala PKNS FC mengikat bekas penyerang prolifik MIFA, Kpah Sherman serta beberapa tenaga muda seperti Ariff Farhan Md Isa dan Shafiq Shaharudin serta Tommy Mawat Bada.

Kedah turut mengikat 10 pemain baharu yang menyaksikan empat pemain import dibawa masuk iaitu Renan Alves, Anmar Al-Mubaraki, Fernando Rodriguez serta Shakir Hamzah dengan skuad Lang Merah itu turut dikendalikan jurulatih baharu, Aidil Sharin.

Sementara itu, Kuala Lumpur dan Kelantan masing-masing membawa masuk lima dan empat pemain dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengikat dua pemain import baharu iaitu Mauricio dos Santos dan Aaron Niguez serta pemain muda berbakat, Akhyar Rasid.

Berita Harian X