Isnin, 31 Disember 2018 | 12:58pm
SAFIQ Rahim

Safiq yakin MU rangkul trofi musim 2019

MELAKA: Pemain tengah Melaka United (MU), Safiq Rahim yakin pasukannya mampu mencatat kejayaan besar di Liga Malaysia musim 2019.

Baginya, walaupun terlalu awal untuk menjangkakan pencapaian berdasarkan tiga minggu sesi latihan dan satu perlawanan persahabatan, namun terdapat banyak ruang buat skuad itu untuk muncul sebaris pasukan terbaik di negara ini.

"Berdasarkan senarai pemain termasuk kehadiran Shukor Adan, Razman Roslan, Khairul Fahmi Che Mat, Raimi Md Noor serta pemain muda lain, sasaran meraih satu daripada piala mampu direalisasikan.

"Apa yang penting, pemain mampu menterjemah perancangan jurulatih menerusi corak permainan secara berpasukan yang agresif. Kami perlu terus meningkatkan persembahan dan persefahaman selepas aksi persahabatan menentang Selangor United masih kurang menyerlah,"katanya.

Safiq yang turut menjaringkan gol pertama skuad itu menerusi sepakan penalti, sekali gus membantu kemenangan 3-2 ke atas pelawat dilihat masih memiliki corak permainan menarik menerusi hantaran tepat kepada rakan.

Malah, bekas kapten kebangsaan itu masih antara pemain tengah terbaik di negara ini menerusi peranannya menghidupkan jentera tengah skuad Hang Tuah walaupun dia sebelum ini pernah mengumumkan persaraan daripada pasukan negara.

Berita Harian X