Jumaat, 4 Januari 2019 | 12:45pm
CRISTIANO Ronaldo. - Foto AFP
CRISTIANO Ronaldo. - Foto AFP

Ronaldo dinobatkan pemain terbaik

DUBAI: Cristiano Ronaldo meraih Anugerah Pemain Terbaik pada Majlis Anugerah Globe Soccer dekat Dubai, semalam.

Penyerang Juventus itu yang juga pemenang lima kali Ballon d’Or, menyertai majlis di Madinat Jumeirah bersama tunangnya, Georgina Rodriguez dan anak lelakinya, Cristiano Junior.

Katanya: “Tiada cara lebih baik untuk memulakan tahun baharu. Terima kasih untuk penghargaan ini dan sambutan yang saya terima hari ini.”

Pemain berusia 33 tahun itu menewaskan hero Piala Dunia Perancis, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann untuk meraih anugerah berkenaan buat kali kelima.

Pemenang lain termasuk Jurulatih Terbaik Tahunan, Didier Deschamps dan legenda Brazil, Ronaldo yang menerima Anugerah Karier Terbaik.

Atletico Madrid juga meraikannya apabila Los Rojiblancos diundi selaku kelab terbaik.

Anugerah Bola Sepak Globe Soccer yang kini berusia 10 tahun, meraikan pencapaian pemain, pengurus, pengarah kelab dan ejen sepanjang 12 bulan lalu. - Agensi

Berita Harian X