Sabtu, 5 Januari 2019 | 8:08pm
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Sairien Nafis
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Sairien Nafis

Tak perlu terlalu ramai pemain naturalisasi

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu skuad Harimau Malaya menjadi seperti Hong Kong atau Singapura yang dipenuhi terlalu ramai pemain naturalisasi.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, badan induk bola sepak itu mahu memastikan kemasukan pemain asing tidak membantutkan perkembangan kemajuan skuad kebangsaan.

Beliau berkata, FAM akan meneliti pemilihan pemain naturalisasi dan mereka yang terpilih hanya boleh beraksi tahun depan.

Bulan lalu Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Yusoff Mahadi mendedahkan bekas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi dan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula antara senarai pemain terbaharu yang berminat mewakili Harimau Malaya.

Stuart berkata, banyak perkara perlu dilakukan sebelum pemain kelahiran Albania, Krasniqi dan pemain Brazil, De Paula boleh menjadi pemain naturalisasi.

Menurutnya, FAM akan menilai tahap kemampuan dan sumbangan mereka kepada skuad negara.

“Kami tak mahu menjadi seperti Hong atau Singapura. Kami perlu pastikan naturalisasi tidak membantutkan perkembangan skuad kebangsaan,” kata Stuart.

“Banyak aspek perlu diambil kira termasuk apa akan berlaku seterusnya selepas keputusan dibuat,” kata Stuart yang mengakui FAM mempunyai senarai panjang calon pemain naturalisasi.

Krasniqi kini tidak lagi bersama Kedah selepas tiga tahun bersama pasukan itu dan melakukan 105 penampilan dan menjaringkan 38 gol. De Paula kini bersama skuad Kuala Lumpur.

Bulan lalu, pemain Inggeris, Lee Tuck dilaporkan berpeluang cerah menyarung jersi Harimau Malaya kerana neneknya berasal dari Malaysia.

Berita Harian X