Ahad, 6 Januari 2019 | 12:23pm
JONATHAN tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam, melalui penerbangan dari Buenos Aires. - Foto ihsan KFA

Kedah pilih Bauman

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akhirnya menamatkan teka-teki mengenai calon penyerang import dengan mengumumkan kedatangan Jonathan Bauman sebagai calon import kelima mereka.

Pemain kelahiran Argentina dan bekas penyerang Persib Bandung, Indonesia itu bakal menguatkan skuad Helang Merah untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.

Bauman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam, melalui penerbangan dari Buenos Aires, Argentina sebelum singgah di Instanbul dan ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Pulau Pinang.

Ketibaan pemain berusia 27 tahun itu dimaklumkan melalui kenyataan rasmi media KFA, semalam.

"Pengurusan KFA akan menilai tahap kecergasan dan perubatannya hari ini sebelum menandatangani kontrak dalam masa terdekat,” katanya.

Ketika menyarung jersi Persib Bandung, Bauman meledak 12 gol dalam 26 penampilan serta memiliki pengalaman bersama skuad muda bawah 20 (B-20) Agentina pada 2009.

Dia juga pernah dipilih menganggotai skuad 16 pemain yang dipersiapkan Argentina untuk Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Kehadiran Bauman ini melengkapkan senarai lima pemain import Kedah - Shakir Hamzah (kuota Asean), Anmar Al-Mubaraki (kuota Asia), Fernando Rodriguez dan Renan Alves.

Bauman akan menyertai latihan pertamanya bersama skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak, esok.

Dalam perkembangan sama, KFA turut mengumumkan pemain sayap lincah, Mohd Farhan Roslan turut dikekalkan untuk saingan musim 2019.

Seorang lagi pemain bek kiri, Mohd Alif Mohd Yusof, 27, yang beraksi untuk FELDA United pada musim lalu turut mengikat kontrak selama setahun bersama Kedah.

Berita Harian X