Ahad, 6 Januari 2019 | 6:59pm
Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto Saddam Yusoff

Cheng Hoe dalam radar Perlis?

KUALA LUMPUR: Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal membuat pengumuman rasmi mengenai masa depan Tan Cheng Hoe bersama Harimau Malaya Selasa ini, timbul pula spekulasi baharu berkenaan jurulatih itu.

Nama bekas pengendali Kedah itu dikatakan kini berada dalam radar Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk mengisi jawatan sebagai pengarah bola sepak skuad Singa Utara, seperti yang dimuat naik di laman Facebook NorthernLions Perlis.

"Pengurusan PFA sedang mencari pengarah bola sepak yang baharu bagi membantu pasukan menghadapi Liga Perdana 2019,” kata kenyataan berkenaan.

"Beberapa nama disenarai pendek dan Tan Cheng Hoe juga berada dalam pemerhatian PFA kerana beliau kini adalah ejen bebas berikutan kontrak beliau yang masih belum disambung oleh FAM." 

Laman Facebook berkenaan turut memuat naik gambar Cheng Hoe berserta kenyataan "Pengarah Baharu Bolasepak Perlis?", sekali gus menghangatkan lagi status masa depan jurulatih itu bersama Harimau Malaya.

Kontrak Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya berakhir bulan lalu dan FAM akan membuat pengumuman rasmi sama ada akan menyambung kontraknya atau tidak selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Selasa ini.

Bagaimanapun difahamkan Cheng Hoe sudah hampir pasti kekal membimbing Harimau Malaya dengan FAM dikatakan akan menawarkan kontrak baharu kepadanya.

Cheng Hoe yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Disember 2017 berjaya menaikkan prestasi semasa Harimau Malaya terutama selepas mencapai sasaran Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan FAM - mara ke final Piala AFF 2018.

PFA sebelum ini juga pernah mencetus spekulasi selepas cuba memikat bintang muda Kedah, Akhyar Rashid ketika pemain berusia 19 tahun hampir pasti menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

 

 

Berita Harian X