Selasa, 8 Januari 2019 | 3:27pm
PERANCANG tengah Perlis, Mohd Badhri Radzi. - Foto Syamsi Suhaimi

Perlis harap Piya tak hilang fokus

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berharap perancang tengah, Mohd Badhri Radzi tidak hilang fokus walaupun terbabit dengan isu tuntutan tunggakan gaji bersama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Isu tunggakan gaji Piya bersama KAFA kini semakin hangat selepas pemain berusia 36 tahun itu membuat tuntutan terhadap persatuan itu membabitkan musim 2015, 2016 dan 2018.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, pihaknya tidak boleh mencampuri urusan tuntutan tunggakan gaji Mohd Badhri atau Piya dengan KAFA.

"Berkenaan (isu tuntutan tunggakan gaji) Piya dengan Kelantan saya tidak boleh komen, cuma kita mengharapkan dia fokus kepada misi Perlis untuk mengharungi musim 2019.

"Setakat ini kami berpuas hati dengan persembahan dia bersama Perlis, tapi mungkin masih perlu perbaiki daripada aspek kecergasan dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan Pengarah Bola Sepak Perlis, Matt Holland di sini, hari ini.

Sukan NSTP semalam melaporkan Piya membuat tuntutan itu terhadap KAFA melalui Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan jumlah keseluruhan masih dirahsiakan.

Bagaimanapun, jumlah itu mungkin melebihi RM200,000 selepas bagi musim 2018 sahaja tunggakan gaji Piya bersama KAFA lebih RM150,000.

Piya menyertai Perlis bulan lalu bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan dengan beberapa pemain berpengalaman termasuk Safee Sali turut memperkuatkan skuad Singa Utara.

Berita Harian X